Pada masa kini, telefon pintar sudah menjadi keperluan penting dalam kalangan masyarakat kerana dapat memudahkan urusan harian mereka.
Pelbagai urusan dapat diselesaikan antaranya urusan perniagaan, kewangan, pembelajaran, malah dalam urusan tempahan makanan dan minuman.
Dengan kelajuan capaian internet terutama di bandar besar dapat meningkatkan penggunaan telefon pintar dalam kalangan masyarakat.
Malah, turut meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira batasan umur, pekerjaan mahupun taraf sosial.
Kini, terdapat pelbagai aplikasi dan permainan dalam talian, laman media sosial, portal jual beli dan perkhidmatan penstriman.
Kemunculan aplikasi-aplikasi baharu ini mula mempengaruhi gaya hidup masyarakat terutama golongan remaja.
Sedar atau tidak, ia turut menyebabkan berlakunya ketagihan internet yang boleh menyumbang kepada pelbagai masalah.
Antara masalah yang dihadapi ialah gangguan psikologi, masalah kesihatan, kemurungan, komunikasi dan interaksi sosial.
Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022.
Menurut laporan tersebut, terdapat beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu mengalami masalah ketagihan internet.
Antaranya ialah marah apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar dan tidur lewat kerana leka melayari internet di telefon pintar.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata, kadar ketagihan internet di Malaysia ketika ini tinggi berbanding kebanyakan negara-negara lain.
Kajian mendapati ketagihan internet berlaku disebabkan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan ibu bapa dan boleh mengundang risiko keselamatan siber terhadap generasi muda.
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melakukan kajian terhadap 2,007 responden dari seluruh negara.
Kajian mendapati lebih 60 peratus golongan belia berusia 18 hingga 25 tahun di Malaysia dikesan menghabiskan masa lebih lima jam sehari untuk melayari internet, terutama bahan berunsur hiburan.
Kajian turut menunjukkan majoriti mereka menghabiskan masa dengan WhatsApp dan Facebook sehingga berisiko mengalami simptom keresahan berpunca daripada ketagihan Laman Rangkaian Sosial (SNS).
Berdasarkan kesemua hasil kajian yang dijalankan itu menunjukkan bahawa penggunaan telefon pintar menyumbang kepada masalah ketagihan internet dalam kalangan remaja di negara ini.
Malah, masalah ini akan terus meningkat sekiranya tiada kawalan daripada diri sendiri, ibu bapa dan pihak berwajib.
Oleh kerana itu, masih ramai golongan ibu bapa yang skeptikal mengenai kebenaran membawa telefon pintar ke sekolah.
Sama ada untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau aspek keselamatan bagi memudahkan pemantauan keberadaan anak masing-masing.
Penggunaan telefon pintar di sekolah juga dikhuatiri akan mengundang lebih banyak masalah di kemudian hari.
Antaranya termasuklah kebimbangan berlakunya ketagihan internet dalam kalangan murid dan gangguan ketika proses PdP sekiranya tiada kawalan dibuat.
Dalam pada itu, terdapat juga barisan pendidik dan ibu bapa yang berpendapat sudah tiba masanya membenarkan pelajar membawa peranti pintar ke bilik darjah.
Tetapi,masih ada peraturan yang perlu ada diwujudkan untuk mengelakkan kebenaran tersebut disalahgunakan.
Mahu atau tidak, lambat laun penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu dilaksanakan kerana tuntutan PdP yang berasaskan teknologi digital.
Malah, telefon pintar akan menjadi sebahagian elemen penting dalam institusi pendidikan pada masa akan datang.
Penulis juga berpendapat sudah tiba masanya semua pihak mencari solusi, garis panduan konkrit, kaedah pelaksanaan dan kawalan.
Hal ini supaya, kebenaran menggunakan telefon bimbit di sekolah tidak menimbulkan isu berbangkit atau mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Penghujungnya, perkara utama yang dimahukan ialah melihat anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dengan lancar dan tidak tercicir dalam penggunaan teknologi digital.
Malah, pada masa yang sama generasi muda tidak berdepan dengan masalah ketagihan internet pada masa depan.
Sumber: Sinar Harian