KUANTAN – Susulan video tular di laman sosial Facebook dan TikTok sejak beberapa hari lalu, yang memaparkan kejadian sekumpulan individu memukul seorang penunggang motosikal.
Pihak polis mengesahkan perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh anggota polis sebagaimana yang didakwa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan itu sebaliknya dilakukan orang awam dan tiada mana-mana anggota polis terlibat.
Menurutnya, kumpulan itu sebenarnya cuba membantu polis menahan lelaki tersebut kerana telah melanggar seorang anggota polis trafik.
Anggota polis terbabit sedang bertugas dalam sekatan jalan Ops Motosikal di lokasi itu pada hari kejadian, malam Ahad lalu.
“Kejadian itu berlaku ketika pihak polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sedang menjalankan operasi motosikal di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang di sini.
“Lokasi tersebut dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan ‘mat rempit’ melakukan aksi menunggang secara bahaya dan menduga kelajuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Wan Mohd Zahari berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, salah seorang penunggang telah bertindak agresif.
Malah, cuba melarikan diri sehingga melanggar salah seorang anggota trafik yang bertugas.
“Ekoran kejadian, beberapa orang awam yang berada di lokasi operasi bertindak memukul penunggang tersebut ketika cuba membantu polis menahannya.
“Bagaimanapun anggota polis yang dilanggar dan penunggang tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, susulan video berdurasi 33 saat yang tular itu, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati.
Malah, netizen turut menyalahkan pihak polis dengan gambaran yang kurang tepat.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran video tersebut.
“Penunggang terbabit telah diambil tindakan saman atas kesalahan meggunakan motosikal tanpa cermin sisi, ubah suai struktur kenderaan dan tiada nombor pendaftaran.
“Dalam operasi sama, sebanyak 34 motosikal telah ditahan dan 74 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Wan Mohd Zahari mengingatkan orang ramai khususnya penunggang motosikal supaya tidak terlibat dengan aktiviti ‘mat rempit’.
Katanya lagi, perbuatan itu akan membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya yang lain.
“Amaran turut diberikan kepada penyebar berita palsu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu satu kesalahan.
“Serta pesalah boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, pihak terlibat berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambah beliau, pihak terlibat juga boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian