Ibu & Anak Menang Tiket Bernilai Hampir RM4 Juta Ke Angkasa Lepas

| November 24, 2021 | 0 Comments

Ibu & Anak Menang Tiket Bernilai Hampir RM4 Juta Ke Angkasa Lepas | WASHINGTON: Seorang jurulatih kesihatan dari Antigua dan Barbuda memenangi dua tiket untuk menjadi antara pelancong angkasa pertama Virgin Galactic.

 

Beliau merancang berkongsi hadiah bernilai hampir AS$1 juta (RM4.2 juta) itu dengan anak perempuannya, seorang pelajar sains berusia 17 tahun.

Keisha Schahaff, 44, berkata beliau mahu melakukan perjalanan sekali dalam seumur hidup itu bersama anaknya yang kini tinggal di Britain dan mengimpikan untuk bekerja dengan NASA suatu hari nanti.

Pengasas Virgin Galactic, Richard Branson mengejutkan Schahaff dengan berita itu di rumahnya di Caribbean pada awal November.

“Saya ingat hanya melakukan temu bual Zoom, tetapi apabila melihat Richard Branson berjalan masuk, saya mula menjerit! Saya tidak percaya.

“Saya sentiasa berminat dengan angkasa lepas sejak kecil. Ini adalah peluang yang baik untuk saya menikmati hidup dan melakukan pengembaraan terhebat,” katanya.

Schahaff memenangi hadiah itu selepas menyertai undian kutipan derma dianjurkan Virgin Galactic di saluran Omaze, yang mengumpul AS$1.7 juta (RM7.2 juta).

Wang itu akan didermakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Space for Humanity, yang berusaha untuk membuka akses lebih luas ke angkasa lepas.

Jumlah disumbangkan tidak didedahkan kepada umum, tetapi penyertaan bermula dengan sumbangan minimum AS$10 (RM42).

Schahaff, jurulatih kesihatan dan tenaga khusus bagi wanita itu memutuskan untuk mencuba selepas melihat iklan dalam penerbangan Virgin Atlantic.

“Saya hanya mengisi permohonan, melakukan apa yang dikehendaki… dan tidak sangka sama sekali saya sebenarnya akan mendapat jawapan,” katanya.

Virgin Galactic dalam satu kenyataan, berkata hampir 165,000 orang menyertainya kutipan dana itu dalam tempoh lapan minggu.

Menurut jurucakap, Virgin Galactic, Schahaff adalah antara pelancong angkasa lepas pertama syarikat itu tetapi gilirannya belum dapat dipastikan.

Virgin Galactic sudah menjual lebih 700 tiket angkasa iaitu 600 tiket antara 2005 dan 2014 pada harga AS$250,000 (RM 1 juta) dan 100 lagi tiket sejak Ogos lalu pada harga AS$450,000 (RM1.9 juta).

Syarikat itu menyasarkan jualan 1,000 tiket sebelum pelancaran pertama penerbangan ke angkasa lepas, yang dijangka dilancarkan lewat 2022. – AFP

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , ,

Category: DUNIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *