Ibu Bapa Positif Covid-19, Lima Beradik Jaga Diri Sendiri Kuarantin Di Rumah | Tiada siapa mahu dijangkiti wabak Covid-19 yang pada ketika ini masih belum ada penawar tetapi siapa kita untuk menolak ketentuan Ilahi. Segala yang berlaku ada hikmahnya dan ujian itulah yang menginsafkan kita semua.

Ibu Bapa Positif Covid-19, Lima Beradik Jaga Diri Sendiri Kuarantin Di Rumah

Gua Musang: Malang tidak berbau apabila lima beradik terpaksa menjaga diri mereka sendiri apabila kedua ibu bapa mereka telah disahkan positif Covid-19. Mereka terpaksa reda untuk kuarantin di rumah dan patuh dengan arahan pihak yang berkenaan.

“Kami lima beradik reda kuarantin di rumah dan patuh dengan arahan pihak terbabit apabila ibu bapa disahkan positif Covid-19,” kata Nor Aina Mohd Adli.

Nor Aina, 19, adalah kakak sulung kepada keluarga berkenaan yang tinggal di Kampung Lembaga, di sini, dan menggalas tugas menjaga empat adiknya selepas kedua ibu bapa mereka positif Covid-19 selepas saringan, lima hari lalu.

Menurutnya, kedua ibu bapa mereka kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Katanya, dia terpaksa mengawal empat adik beradiknya yang masing-masing berusia antara tiga hingga 16 tahun supaya berkurung dan tidak keluar rumah selama 14 hari.

“Kami mengambil tugas sebagai ketua keluarga dan membuat persiapan masakan setiap hari untuk adik beradik walaupun tidak seberapa.

“Alhamdulillah, kami mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak dan setakat ini simpanan makanan mencukupi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum itu, lima beradik berkenaan yang dikuarantin dalam rumah telah menerima sumbangan bekalan makanan yang disumbangkan oleh Majlis Belia Jajahan (MBJ).

Pengerusi MBJ, Mohd Asmawi Fikri Abdul Ghani datang menghulurkan sumbangan itu yang diletakkan di atas tangga rumah mereka.

Beliau berkata, pihaknya mengambil usaha itu untuk meringankan beban mereka sepanjang ketiadaan kedua ibu bapa dan mengelakkan mereka berdepan masalah termasuk kehabisan makanan.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply