Masjid Perlis Ditutup Kepada Orang Awam, Elak Penularan Covid-19 | Khalifah Media Networks – Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia pada ketika ini sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 yang menunjukkan peningkatan mendadak dan tidak ada tanda-tanda untuk penularan itu menurun.

Masjid Perlis Ditutup Kepada Orang Awam, Elak Penularan Covid-19

Kangar: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memutuskan untuk mengehadkan aktiviti pengimarahan semua masjid di negeri ini. Bermula hari ini bagi mengelak penularan tempatan Covid-19.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tindakan itu susulan kewujudan kluster baharu. Penularan wabak membabitkan sebuah syarikat perkhidmatan di Kampung Bakau, di sini.

Beliau berkata, masjid di Perlis pada ketika ini tidak dibuka untuk orang awam. Sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu. Dalam kalangan pegawai masjid serta ahli jawatankuasa masjid iaitu tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang tiga orang termasuk imam.

“Tempoh solat termasuk solat Jumaat perlu dipendekkan kepada 15 minit saja. Dilakukan di tempat terbuka serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan sebelum ini,” titah baginda. Menerusi kenyataan dikeluarkan MAIPs, hari ini.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, mereka yang bermusafir digalakkan menunaikan solat di penginapan masing-masing, manakala mereka yang tiada tempat penginapan boleh menunaikan solat di kawasan anjung masjid.

“Waktu solat bagi musafir adalah jam 5.30 hingga 6.30 petang bagi solat jamak taakhir Zohor dan Asar, jam 9.30 hingga 10.30 malam untuk solat jamak taakhir Maghrib dan Isyak.

“Bagi solat Subuh pula, ruang solat bagi musafir dibuka dari jam 6.30 hingga jam 7 pagi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, akad nikah boleh dilaksanakan di premis persendirian dengan mematuhi SOP ditetapkan MAIPs.

Baginda bertitah, MAIPs sentiasa meneliti perkembangan semasa penularan wabak dan akan memanjangkan keperluan ketetapan terkini berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply