Ibu Tikam Anak Sembilan Kali Dan Buang Mayat Atas Kaunter Pasaraya. | Seorang ibu telah ditahan atas pembunuhan anak lelaki yang berusia dua tahun yang didakwa ditikam dan ditinggalkan di atas kaunter pembayaran di sebuah pasaraya Lidl.

Ibu Tikam Anak Sembilan Kali Dan Buang Mayat Atas Kaunter Pasaraya.

Katalin Erzsebet Bradacs, 44, ditahan dan dibawa ke tahanan selepas didakwa membunuh anak lelakinya sendiri, Alex Juhasz.

Bekas penari kelab malam itu memasuki sebuah pasaraya Lidl di bandar kecil Citta della Pieve di wilayah tengah Itali, Umbria pada Jumaat.

Bradacs, dari Hungary, dikatakan menjerit meminta tolong selepas dia meletakkan mayat anaknya yang berdarah di atas kaunter pembayaran.

Alex disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditemui dengan sembilan kesan tikaman di dada dan lehernya.

Bradacs juga dirawat di tempat kejadian tetapi kemudiannya ditahan oleh pihak polis selepas mereka menemui sebilah pisau di dalam beg tangannya.

Beberapa barangan termasuk t-shirt berdarah kanak-kanak itu dan baju wanita tersebut ditemui pada malam itu di sebuah bangunan berhampiran.

Kawasan ini telah dipagar oleh polis sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

Polis berkata, rakaman CCTV tidak mendedahkan mana-mana suspek lain selain ibu kanak-kanak itu.

Detektif percaya Bradacs mahu membalas dendam terhadap bapa Alex, Norbert Juhasz, yang telah diberikan hak penjagaan oleh mahkamah Hungary bulan lalu.

Bradacs dikatakan melarikan diri ke Itali bersama budak itu berikutan keputusan itu, dan saksi mendakwa mereka melihat dia berlaku kasar pada kanak-kanak itu sehari sebelum kematiannya.

Ia didakwa Juhasz memberi amaran kepada pihak berkuasa Hungary selepas Bradacs menghantar gambar anak mereka yang telah meninggal dunia melalui WhatsApp sebelum membawa Alex ke pasaraya.

Bradacs kini ditahan polis untuk disoal siasat, di mana dia telah menafikan tuduhan terhadapnya, memberitahu pegawai berulang kali: “Saya tidak membunuh anak saya.”

Dia juga dilaporkan memberikan tiga versi bercanggah dengan peristiwa sebelum memilih untuk berdiam diri atas nasihat peguamnya, Enrico Renzoni.

Siasatan tersebut masih dijalankan.

Sumber: Mirror

Share.

Leave A Reply