Seorang ibu tunggal warga Britain dan anak lelakinya hilang tempat tinggal gara-gara tindakan pihak berkuasa tempatan sebuah bandar di Sepanyol yang secara ‘senyap-senyap’ menjual rumah didiaminya untuk membayar hutang bekas suaminya.
Menurut portal berita Daily Mail, Victoria Jenkins tinggal di apartment di Costa del Sol selama lebih 22 tahun bersama anak lelakinya, Sam, 13, yang dilahirkan di kawasan resort peranginan popular itu.
Tetapi hujung tahun lalu, pihak berkuasa tempatan bandaraya Mijas dan dua pegawai polis secara tiba-tiba memberinya notis pengusiran selepas memberitahu rumah mereka sudah dijual ketika sesi lelongan tanpa pengetahuannya.
Selain itu, Jenkins merasa terkejut apabila pihak berkuasa memberitahu rumah tersebut dilelong untuk membayar hutang suaminya yang didakwa berjumlah 3,500 pound (RM18,757).
Paling menyedihkan, rumah tersebut dijual kepada pemilik baharu dengan harga tidak munasabah hanya 24,000 pound (RM128.614) berbanding nilai sebenarnya sekitar 230,000 pound (RM1.23 juta).
“Saya dan bekas suami membeli rumah ini dan selepas kami bercerai beberapa tahun lalu, saya diberi hak oleh mahkamah untuk membesarkan anak saya disini”.
“Rumah ini tidak mempunyai sebarang hutang lagi dan saya juga tidak mengetahui tentang hutang bekas suami saya itu.”
“Saya bertanya mengapa saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini lebih awal atau diberi peluang untuk membayar hutang itu mahu pun peluang untuk membawa kes ini ke mahkamah.”
“Tetapi mereka memberi alasan rumah itu bukan atas nama saya dan saya hanya diberi hak tinggal di sana jadi mereka tidak perlu memberitahu saya secara sah tentang hutang dan proses penjualan itu.”katanya
“Notis pengusiran yang pertama kali diserahkan kepada saya itu adalah keputusan terakhir daripada pihak mahkamah,” jelasnya lagi.
Susulan itu, pegawai pihak berkuasa tempatan turut mengambil lebihan wang daripada penjualan itu dan mendakwa sudah digunakan untuk membayar yuran guaman. Hal ini menyebabkan Jenkins dan anaknya tinggal sehelai sepinggang.
Jenkins yang kini terpaksa menumpang di rumah kawannya mendakwa tindakan itu merupakan aktiviti penipuan oleh pegawai dewan bandaran. Hal ini kerana mereka ingin mengambil harta daripada penduduk secara paksa menggunakan alasan palsu dan kemudian menjual rumah itu pada harga yang jauh lebih rendah.
Sumber : Utusan Online