Gunung Merapi di Indonesia meletus malam tadi, mengeluarkan lahar panas dan abu ke lereng gunung, menyebabkan lebih 250 penduduk di kawasan sekitar terpaksa berpindah, kata Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB).
Gunung itu memuntahkan awan panas iaitu campuran abu dan bahan gunung berapi, yang mengalir sepanjang 5 kilometer (km) menuruni cerunnya, antara hampir tengah malam dan 2 pagi waktu tempatan hari ini, kata agensi geologi Indonesia di Twitter.
Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan hari ini, berkata gunung berapi di Pulau jawa yang berpenduduk itu dikesan memuntahkan kepulan abu panas sekurang-kurangnya tujuh kali setakat ini.
Jelasnya, sekitar 253 penduduk di sekitar gunung berapi di wilayah Yogyakarta itu sudah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di perkampungan Glagaharjo dan Umbulharjo di Yogyakarta serta daerah Klaten di Jawa Tengah.
Katanya lagi, status sekarang masih pada tahap bahaya dengan abu menyelubungi beberapa kampung tetapi tiada kemalangan jiwa serta merta yang dilaporkan.
Agensi itu turut berkata, awan panas terbaru menuruni cerun tenggara gunung berapi itu pada jam 7.33 pagi waktu tempatan hari ini.
BNPB berkata, wujud potensi bahaya termasuk lebih banyak aliran lahar dan awan panas yang keluar serta memberi amaran kepada orang ramai yang tinggal dalam lingkungan tujuh km dari gunung berapi itu supaya menjauhkan diri.
Gunung Merapi setinggi 2,963 meter adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia dan berada pada tahap berjaga-jaga kedua tertinggi di negara itu.
Indonesia, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, mempunyai lebih banyak gunung berapi berbanding negara lain.
Gunung Merapi kali terakhir meletus dengan teruk pada 2010, mengorbankan lebih 350 orang.
Pada Disember lalu, gunung berapi Semeru di wilayah Jawa Timur meletus, membunuh hampir 60 orang.
Sumber: Berita Harian