Indonesia Rancang Buka Semula Bali Julai Ini |Bali merupakan pusat pelancongan terkemuka di dunia serta menjadi ‘kegilaan’ buat kaki traveler kerana keindahan pantai dan pemandangannya yang memukau.

Indonesia Rancang Buka Semula Bali Julai Ini

Indonesia kini telah mengumumkan bahawa pihak mereka sedang merancang untuk membuka semula wilayah Bali kepada pelancong asing pada Julai depan.

Menurut Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, pihak kerajaan Indonesia akan menetapkan parameter sama bagi mewujudkan semula gelembung perjalanan timbal balik dengan negara lain bagi meningkatkan semula sektor pelancongan.

“Negara ini menyaksikan penurunan pelancong asing sebanyak 75 peratus selepas Indonesia menutup sepadannya bagi mengekang penularan wabak Covid-19, namun pengecualian diberikan kepada pihak yang memperoleh kebenaran khas daripada kementerian atau institusi Indonesia”, katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Indonesia sedang mengemukakan perancangan bagi mewujudkan ‘zon hijau’ Covid-19 di Bali bagi kawasan yang boleh dikunjungi dan menginap untuk pelancong asing.

Timbalan menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Angela Tanoesoedibjo berkata, syarat akan ditetapkan untuk negara yang ingin membangunkan koridor bersama negara Indonesia.

“Negara yang diberi kebenaran untuk memasuki wilayah Bali adalah negara yang dapat memastikan kadar jangkitan di negara tersebut terkawal serta mengekalkan kemajuan program vaksinasi yang signifikan”, katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, Indonesia lebih mengutamakan kualiti pelancongan dari segi tempoh tinggal yang lama malah perbelanjaan yang lebih tinggi.

“Kami juga sedang mempertimbangkan ketersediaan penerbangan yang terus ke bali dengan negara-negara yang dibenarkan bagi mengurangi risiko penularan COVID-19”, katanya.

Bali telah melaporkan lebih 38,000 jangkitan dengan lebih 1,000 angka kematian akibat COVID-19, hingga kini.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply