Ini Jaminan Perdana Menteri Selepas 2 Tahun Tak Dapat Balik Raya. | BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa orang ramai bebas untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, tiada lagi sekatan pergerakan pulang ke kampung tahun ini selepas dua tahun pergerakan balik hari raya Aidilfitri tidak dibenarkan akibat pandemik Covid-19.

“Jadi kalau ada yang tanya boleh balik beraya atau tidak tahun ini, ya..boleh balik, bebas,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, walaupun orang ramai bebas pulang beraya, mereka digalakkan untuk membuat kawalan kendiri dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri dan orang lain.

Beliau berkata, bagi memberi peluang orang ramai bersama-sama keluarga pada hari raya pertama, Rumah Terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana pada tahun ini ditunda kepada 8 Mei.

“Biasanya majlis itu diadakan pada hari raya pertama, tapi tahun ini kita beri peluang orang ramai balik kampung beraya dahulu dengan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kira-kira 4,800 penerima menerima sumbangan sempena Aidilfitri Parlimen Bera melalui Majlis Semarak Ramadan Parlimen Bera yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini.

“Sumbangan tunai melalui Yayasan Petronas itu diharap dapat membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply