Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Komnas HAM) Indonesia tidak setuju hukuman mati dijatuhkan kepada seorang guru agama yang didapati bersalah memperkosa pelajar perempuannya.

Isu Guru Agama Rogol 13 Pelajar, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia Tak Setuju Pesalah Dihukum Mati

Memetik laporan CNN Indonesia, Pengerusi Komnas Ham, Ahmad Taufan Damanik percaya bahawa hukuman mati tidak akan memberi kesan pencegahan kepada pelaku jenayah.

“Jika kita lihat kajian berkaitan penggunaan hukuman mati, tiada kaitan antara penerapan hukuman itu dengan kesan pencegahan atau pengurangan perbuatan jenayah.

“Tidak kira sama ada ia jenayah keganasan seksual, penyalahgunaan dadah atau perbuatan jenayah lain,” katanya.

Menurutnya, beberapa negara telah memansuhkan hukuman mati dalam menetapkan hukuman terhadap penjenayah.

Beliau kemudian membandingkannya dengan perlembagaan yang berkuat kuasa di Indonesia.

“Menerusi perlembagaan kita, Undang-Undang Dasar 1945 Pasal 281 ayat (1) menyatakan bahawa hak untuk hidup adalah hak yang tidak boleh dikurangi dan disekat dalam keadaan apa pun.

“Disebabkan itu, hak asasi manusia adalah mutlak,” katanya.

Atas dasar itu, beliau juga memohon pihak penguat kuasa untuk memberi peluang kepada guru agama itu memfailkan rayuan.

Dalam perlembagaan sendiri, ada peraturan yang memberi peluang kepada orang yang dijatuhkan hukuman mati, dalam tempoh tertentu.

Ketika itu, jika banduan direkodkan mengalami perubahan sikap, maka hukuman tersebut boleh dikurangkan kepada hukuman yang lebih ringan.

“Justeru sekali lagi kita mahu ada satu siasatan yang sebaik-baiknya ketika proses rayuan nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Panel Hakim Mahkamah Tinggi (PT) Bandung membenarkan rayuan Mahkamah Tinggi Jawa Barat yang memohon hukuman mati bagi pelaku.

Keputusan itu menjadikan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan oleh Mahkamah Daerah Bandung sebelum ini terbatal.

Selain itu, hakim juga mewajibkan tertuduh membayar ganti rugi atau pampasan kepada mangsa berjumlah lebih Rp 300 juta (RM88,086).

Lelaki tersebut didapati bersalah merogol 13 orang pelajar perempuannya dalam tempoh sekitar tahun 2016 hingga 2021.

Difahamkan, lapan mangsa yang dirogol olehnya telah hamil dan seorang daripadanya pernah melahirkan anak sebanyak dua kali.

Mangsa berumur antara 12 hingga 16 tahun dan mereka dipercayai turut diugut agar tidak membongkarkan perbuatan kejinya.

Sumber : SK

Share.

Leave A Reply