PETALING JAYA – Kekecohan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, akhirnya terjawab dengan ketibaan pelakon terkenal Korea Selatan, Park Seo Joon, di Malaysia.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @ariffsyauqi di TikTok, kelihatan peminat-peminat Seo Joon berlari dan menjerit ketika menyambut ketibaannya.
Pengguna tersebut kemudiannya membandingkan situasi tersebut dengan jemaah umrah yang sedang menunggu untuk berlepas ke Tanah Suci, tidak jauh dari kawasan terbabit.
Kelihatan jemaah umrah tersebut ‘terlopong’ dan terhibur dengan gelagat peminat-peminat setia aktor Korea Selatan itu.
Video tersebut kemudiannya mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya terdiri daripada peminat Seo Joon, tidak berpuas hati dengan perbandingan tersebut.
@ariffsyauqi
“Tidak perlu nak banding-bandingkan orang sambut artis dan orang nak pergi umrah. Lebih baik fokus dekat ibadah,” komen seorang pengguna.
“Mereka nampak gembira. Biarlah, setiap orang ada minat masing-masing kan. Kita hormati satu sama lain,” luah seorang lagi pengguna.
Namun, ada juga yang menganggap perkara tersebut keterlaluan kerana seperti ‘mengagungkan’ artis tersebut.
“Sama macam hari itu masa Lee Min Ho datang. Terjerit-jerit dan berlari sampai selipar bersepah pun dorang tidak ingat apa dah. Langgar budak pun dah takde ambik kisah,” komen pengguna lain.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat 134,200 tontonan, 13,500 tanda suka dan 1,065 perkongsian.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Ayah Hilang Semasa Umrah Di Makkah Hampir Sebulan
“Kami sekeluarga sangat berharap ayah segera ditemui dan sentiasa dalam keadaan selamat. Kami sangat bimbangkan keadaanya di sana,” kata Muhammad Nabel Musthafa Kamal.
Muhammad Nabel, 26, adalah anak kepada jemaah umrah, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah hampir sebulan lalu.
Katanya, bapa pergi ke Tanah Suci bersama adiknya, Muaz, 17, pada 6 Disember lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 Disember.
Bagaimanapun katanya, bapanya dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas adiknya menyedari bapa mereka tiada di bilik hotel di Makkah.
“Mereka baru pulang dari Madinah dan tiba di hotel kira-kira 7 malam. Mereka sempat makan dan meletakkan barang serta berehat sebelum 10 malam dijadualkan membuat tawaf untuk umrah wajib.
“Mereka juga sudah memakai ihram dan ayah minta adik pergi dulu dengan mutawif kerana dia mahu berehat dan cakap dia akan tawaf nanti… kebetulan ketika itu ayah kurang sihat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, ketika pulang ke bilik hotel, adiknya mendapati bapa mereka tiada di bilik, malah beg silangnya juga tiada pada 12.30 tengah malam.
Katanya, pada mulanya adiknya tidak terlalu risau bapanya keluar seorang diri kerana beliau boleh berbahasa Arab tetapi selepas bapa masih belum pulang hingga Subuh dan gambarnya juga tersebar di WhatsApp, mereka mengesyaki bapa dihantar ke hospital.
“Kami percaya mungkin ayah keluar seorang diri mahu pergi tawaf. Pada 13 Disember ada individu berkongsi gambar ayah memakai ihram tanpa beg dalam ambulans di kumpulan WhatsApp.
“Mutawif kemudiannya ke hospital mencari ayah tetapi ayah tiada dan diberitahu sudah keluar dari hospital serta dihantar pulang ke hotel,” katanya sambil memberitahu bapanya tiada penyakit.
Menurut Muhammad Nabel, pemeriksaan di hotel mendapati bapanya yang tinggal di Sri Gading, Batu Pahat dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Johor masih tiada di premis berkenaan.
Katanya, pada hari ketiga kehilangan bapanya ada orang awam menghantar beg silang bapanya itu di kaunter hotel.
“Kami binggung memikirkan di mana ayah berada dan sehingga kini ayah masih belum ditemui… sudah hampir sebulan dan adik pulang seorang diri bersama jemaah lain tanpa ayah.
“Mak juga sedih, tidur malam kami tidak lena memikirkan ayah dan setiap hari memikirkannya. Di sana ada individu yang membantu mengesan ayah dan selalu berhubung dengannya,” katanya memberitahu mereka membuat laporan polis dan di Kedutaan Malaysia.
Justeru, Muhammad Nabel berharap sesiapa yang menemui bapanya segera menghubungi pihak berkuasa atau memaklumkan kepadanya di talian 017-7362532.
Sumber : KMN