“Jika Terdapat Sejenis Butang..”, Ucapan Ahli Parlimen Israel Ini Teruk Dikecam | Seorang ahli parlimen Israel, Matan Kahana, menerima kecaman hebat selepas mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa beliau boleh menghapuskan semua kaum Arab Palestin dari penempatan haram Israel, lapor laman berita RT.
“Jika terdapat sejenis butang yang boleh ditekan untuk menghilangkan semua orang Arab atau menghantar mereka ke Switzerland dengan menaiki kereta api, saya akan melakukannya,” kata ahli parti Yamina, Matan Kahana.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan kepada sekumpulan pelajar sekolah menengah di Tebing Barat, kelmarin.
Tambah Kahana, meskipun terdapat perbezaan, penduduk Palestin dan Israel tidak mempunyai pilihan selain untuk tinggal bersama.
“Namun, apa yang boleh kita lakukan? Tiada butang seperti itu. Nampaknya, kita (Israel dan Palestin) perlu tinggal bersama di tanah ini,” ujarnya.
SUMBER : Kosmo!