Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu merekodkan 232 kes daftar lewat sijil kelahiran sejak Januari hingga Julai tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohamad Nasir Kareem, berkata jumlah rekod berkenaan
mungkin agak tinggi dengan pelbagai alasan diberikan keluarga atau waris selepas lewat membuat pendaftaran kelahiran anak atau waris tanggungan mereka.
Beliau berkata, tiada pengangkutan dan masalah kewangan adalah alasan paling popular diberikan kerana melewatkan pendaftaran kelahiran.
Katanya, tempoh dua bulan atau 60 hari diperuntukkan buat ibu bapa atau waris mendaftar anak atau tanggungan mereka namun ada yang membuat pendaftaran melebihi tempoh itu.
Jelasnya, ada yang lebih setahun atau tahun-tahun berikutnya, baru mereka membuat pendaftaran atas kelahiran yang berlaku sebelum itu.
Tambahnya lagi, selain alasan masalah pengangkutan dan kewangan, ada juga segelintir yang memberi alasan masalah keluarga.
Menurutnya, masalah sebenarnya akan lebih meruncing apabila kanak-kanak kian membesar dan hendak masuk persekolahan. Ketika itu akan ada masalah sebab tak ada dokumen kelahiran.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan pelbagai kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pendaftaran kelahiran.
Katanya, tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran adalah syarat keluarga atau waris perlu mendaftar kelahiran bagi mengelak kesulitan pada masa depan.
Mohamad Nasir berkata, tanpa dokumen seseorang sukar untuk melakukan pelbagai aktiviti berkaitan terutama bagi kanak-kanak yang bakal ke alam persekolahan.
Jelasnya, selain itu, urusan bank, lesen, atau mendapatkan pekerjaan juga akan melalui jalan sukar.
Beliau memberitahu, tanpa pengenalan diri seseorang juga berdepan kesukaran terutama dalam proses pengebumian apabila berlaku kematian kerana pihak kami tidak boleh mengeluarkan sijil kematian berikutan tiada sijil kelahiran.
Katanya, pernah berlaku satu kes pada tahun 2010 apabila seorang individu mendaftar kelahiran pada usia 60-an menyebabkan pelbagai kesulitan berlaku. Bagaimanapun, pihak kami tetap memproses permohonan itu hingga berjaya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai memikirkan implikasi yang bakal diterima anak apabila pendaftaran kelahiran tidak dilakukan seperti yang sudah ditetapkan.
Sumber: Berita Harian