Jururawat Langgar Tiang Elektrik Nyaris Rentung, Kereta Terbakar | RANTAU PANJANG – Seorang jururawat berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbakar selepas merempuh tiang elektrik di Jalan Kampung Tok Deh, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Sabrina Abdul Rahman, 44, sempat mematikan enjin MPV jenis Perodua Alza sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri selepas melihat api membakar kenderaan tersebut.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd. Razali Mohamad Noor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Klinik Kesihatan Tok Deh, di sini sebelum MPV dipandunya terbabas.
“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.07 pagi dan tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu MPV itu berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd.Razali memberitahu, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran MPV yang hampir 100 peratus terbakar.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Satu Mayat Rentung Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Guthrie
Satu mayat rentung ditemukan di tempat duduk pemandu dalam sebuah kenderaan yang terbakar 100 peratus di Kilometer 2.0 Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dekat sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.15 pagi berhubung kebakaran kenderaan itu, dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Sebaik tiba, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta Mazda terbakar 100 peratus.
“Bomba menemui satu mayat rentung tanpa identiti di tempat duduk pemandu, mayat dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataannya mengesahkan kejadian terbabit.
“Kira-kira 1.35 pagi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima satu laporan berkenaan kemalangan jalan raya kira-kira 150 meter sebelum tol Bukit Jelutong.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Mazda warna merah tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri pengadang jalan dan kemudian terbakar.
“Mangsa yang belum dikenal pasti identiti disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana turut terbakar bersama kenderaan yang dipandunya.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian,” katanya.
Susulan itu katanya, polis kini sedang mengesan saksi bebas di tempat kejadian dan waris mangsa.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat (BSPT) IPD Shah Alam Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : Harian Metro