Lelaki Masalah Mental Ceroboh Balai, Gigit Jari Polis Sampai Putus | KUALA LUMPUR – Bukan sahaja mengugut ingin menyimbah asid, seorang lelaki malah bertindak luar kawalan apabila menggigit jari manis seorang anggota polis sehingga putus, dalam satu kejadian di hadapan Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, ketika kejadian yang berlaku pada pukul 10.15 malam itu, pengadu bersama seorang rakan sekerja sedang bertugas.

“Seorang lelaki warga negara berusia 34 tahun datang dan menjerit mahu menyimbah asid. Suspek kemudian menyimbah muka dan badan pengadu menggunakan air botol mineral sebelum bertindak meluru masuk ke dalam perkarangan balai.

“Suspek juga membaling satu tin Red Bull ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah. Setelah itu, berlakunya pergelutan antara pengadu, dua orang rakan sekerja dan suspek.

“Bertindak agresif, suspek kemudian menggigit jari manis tangan kanan salah seorang rakan sekerja pengadu sehingga putus di bahagian hujung jari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Zam Halim lagi, suspek yang mengalami kecederaan ringan berjaya ditangkap dan hasil siasatan mendapati terdapat rekod dikehendaki polis berkenaan satu kes penipuan.

“Ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif ‘Amphetamine’ dan ‘Methamphetamine’ serta suspek pernah mendapat rawatan psikiatri pada tahun 2020, tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 21 April.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Penagih Dadah Mempunyai Masalah Mental Pukul Imam | Lelaki yang tular dalam sebuah video kerana bertindak memukul seorang imam jemputan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Ahad lalu bukan sahaja mempunyai masalah kesihatan mental, malah juga merupakan seorang penagih dadah.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah.

Beliau berkata, kesan pengambilan dadah, suspek dipercayai berhalusinasi mendengar imam yang memimpin solat Subuh ketika itu memanggil namanya sekali gus menjurus kepada tindakan terbabit.

Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang bekas tentara, mempunyai rekod jenayah dan mengalami masalah mental.

Suspek kini ditahan atas kesalahan penggunaan dadah dan kesalahan kacau ganggu di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan.

Katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini bahawa suspek sudah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Ramli berkata, lelaki tersebut merupakan gelandangan yang menjadikan masjid dan Mahkota Square di bandar ini sebagai tempat tidur dan merayau.

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan kejadian seorang lelaki kurang siuman bertindak mahu memukul imam jemputan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini sekitar pukul 6.18 pagi Ahad lalu.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan kain pelikat datang dari arah belakang bertindak menolak jemaah sebelum memukul imam jemputan terbabit dengan selipar berwarna putih.

Pihak Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dalam kenyataannya meminta orang ramai menghentikan penularan video terbabit dan tidak akan bertanggungjawab jika berdepan tindakan undang-undang.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply