Kalendar Sekolah Akan Kembali Bulan Januari Pada Tahun 2026 | Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan sesi persekolahan akan kembali dimulakan pada Januari bermula pada 2026.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan usaha dengan merancang untuk mengawalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025.

“Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada tahun 2026,” katanya ketika pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Aminhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang bertanyakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula awal Januari.

Fadhlina berkata, pihaknya berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan.

“Dengan pengumuman ini, KPM memastikan kesejahteraan semua pihak diberi keutamaan bagi mencapai hasrat Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera,” katanya.

Pada November 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjutkan sehingga Februari 2022, sekali gus menyaksikan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada Mac.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, seiring pengumuman itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dapat melakukan perancangan dan persediaan menyeluruh bagi mendepani perubahan berkenaan.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya yang turut melihat pengumuman berkenaan selari dengan hasrat KPM untuk memastikan kesejahteraan semua pihak dengan keutamaan kepada merealisasikan hasrat Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera.

Fadhlina berkata, KPM meneliti banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan membabitkan kalendar akademik persekolahan.

“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM turut melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, KPM turut melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

Sumber: Harian Metro

 

Share.

Leave A Reply