Kanak-kanak Lelaki Hilang Lepas Jatuh Sungai Ditemukan Mati Lemas | Ketika negara sedang dilanda Covid-19 tatkala ini, seringkali kita dengar dan tular di media sosial mengenai perkara yang tidak diingini berlaku dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, kejadian lemas dan hilang di sungai salah satu kes yang sering berlaku ketika ini lebih-lebih lagi kejadian lemas yang meragut nyawa seseorang.

Kanak-kanak Lelaki Hilang Lepas Jatuh Sungai Ditemukan Mati Lemas

Mukah: Kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang dilaporkan hilang selepas jatuh di sungai berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Engkerbai, Selangau di sini pada Selasa lalu, ditemukan mati lemas, hari ini.

Difahamkan, mayat Muhammad Danish Muhammad Zamrie telah ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira pada jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, mayat ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dikatakan terjatuh.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal menemui, terdapat kesan luka dipercayai gigitan haiwan di bahagian lengan kiri dan kanan mangsa.

“Selepas ibu bapanya membuat pengecaman, mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.44 pagi, Selasa lalu.

Berikutan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau, dikerah ke lokasi dan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR turut dibantu tujuh anggota dari Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Sungai Merah, Sibu.

“Empat anggota polis dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut serta dalam operasi itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply