Kanak-Kanak Lelaki M@ut Dihempap Tiang Elektrik. | CHANGLUN: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, manakala dua lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun, masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata kanak-kanak terbabit, dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan, yang kemudiannya jatuh dan menghempap mangsa.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azman Shahidan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, komander operasi menerima maklumat tiga mangsa berusia sekitar 11 tahun dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan sebelum ia terjatuh dan menghempap mangsa.

“Seorang kanak-kanak didapati sudah meninggal dunia, manakala dua lagi kanak-kanak tidak sedarkan diri. Mereka dikeluarkan daripada longgokan tiang oleh orang awam dan kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber : BH

 

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Mayat dalam semak mangsa bunuh

TANJONG KARANG: Mayat lelaki yang ditemui dalam kawasan semak di LOrong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, di sini, hari ini dipercayai mangsa bunuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 pagi sebelum sepasukan anggota polis dari Balai Polis Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan menemukan mangsa berusia 40-an terbaring dengan kesan kecederaan pada kepala.

“Berhampiran mayat mangsa, terdapat sebuah motosikal jenis Modenas dan jarak antara kedua-duanya kira-kira tiga meter,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, pegawai perubatan tiba di lokasi kejadian pada jam 2.30 petang.

“Hasil siasatan mendapati ada unsur jenayah berdasarkan luka pada kepala mangsa.

“Selain itu, lelaki itu juga dipercayai bukan warganegara kerana tiada tanda suntikan BCG,” katanya.

Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) cuba menjejaki suspek namun tidak menemui sebarang maklumat.

“Siasatan di lokasi kejadian turut dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Pada masa sama, hasil keterangan pemilik motosikal Modenas menyatakan kenderaan itu telah dijual pada 2019 tanpa tukar nama,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh pada jam 2 petang esok dan siasatan lanjut kes masih dijalankan secara menyeluruh.

Terdahulu, Seorang lelaki yang sedang mencari kain rentang berkaitan penjualan tanah terkejut apabila menemui mayat lelaki di kawasan semak di Lorong Cempaka Kampung Sungai Kajang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Toriman Marsaid, 66, menemui mayat lelaki itu dalam keadaan tertiarap.

Toriman berkata, dia berbasikal di kawasan berkenaan bagi mencari kain rentang berkaitan jualan tanah lot tetapi tidak menemuinya.

“Saya kemudian singgah ke kedai makan berhampiran sebelum berpatah balik ke tanah lot tersebut untuk mencari kain rentang terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Toriman, ketika leka mencari kain rentang, dia terlihat kain buruk di dalam semak.

“Saya ingatkan kain rentang (penjual tanah) buang di situ, saya terus tengok dan rupanya ada mayat di dalam semak.

“Saya mulanya nampak kaki dan kemudian keseluruhan badan mayat yang lengkap berpakaian,” katanya.

Ujar Toriman, dia kemudiannya keluar dari semak dan terus menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan penemuan mayat tersebut.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut akan dijalankan setelah selesai proses bedah siasat.

“Kita akan siasat dulu kes ini sama ada terlibat dalam kemalangan jalan raya atau kes jenayah lain.

“Siasatan awal mengenal pasti mayat ditemui itu seorang lelaki, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya.

Mayat mangsa yang dibawa trak polis untuk dihantar ke hospital berhampiran bagi proses bedah siasat.

Share.

Leave A Reply