“Saya terkejut dan takut ketika terdengar bunyi kuat dari atas (bumbung) sebelum berlari bersembunyi di bawah katil.

PETUGAS kesihatan memeriksa keadaan Nur Jannah yang tercedera dalam kejadian bumbung runtuh di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, ketika ditemui di penempatan sementara di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

“Ketika di bawah katil, saya menggigil dan keluar semula (dari bawah katil) namun sebatang besi (serpihan bumbung) terkena pada dahi kiri,” kata Nur Jannah Motaleb, 8.

Nur Jannah berkongsi detik cemas yang dialaminya dalam kejadian bumbung runtuh di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang malam tadi.

Waktu itu, Nur Jannah berkata, dia baru sahaja makan malam dan duduk di katil asrama tidak jauh daripada beberapa rakannya.

“Bunyi itu kuat dan saya sangat takut sebelum bersembunyi di bawah katil. Tetapi saya risau kalau bumbung itu terjatuh ke atasnya dan ketika keluar semula dari bawah katil, besi yang terjatuh dari atas (bumbung) terkena dahi saya,” katanya yang masih mengalami bengkak di dahi.

Katil di mana Nur Jannah guna untuk bersembunyi turut rosak akibat dihempap struktur bumbung yang jatuh. Namun, mujur kanan-kanak itu sempat menyelamatkan diri mereka.

Sementara itu, Nur Batrisya Balqis, 10, berkata, ketika melarikan diri, dia terpijak kainnya sebelum tersungkur menyebabkan kaki kanannya terseliuh.

Katanya, sehingga kini dia masih berasa sakit pada badan terutama pada bahu dan kaki.

“Semalam saya tak boleh tidur kerana mimpi, teringat dengan kejadian itu lagi,” katanya ketika ditemui.

Manakala Siti Syahirah Zulkipli, 13, tidak mahu ditemubual kerana mengalami trauma dan tidak mahu bercakap.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibenar keluar dari hospital berkenaan kira-kira jam 5 pagi.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di penempatan sementara di asrama Pusat Serantau Pendidikan Sains dan Matematik (RECSAM) Jalan Sultan Azlan Shah.

Sementara itu Hasnah Aziz, 40, ketika ditemui berkata, empat anaknya termasuk Nur Batrisya Balqis tinggal di wisma berkenaan selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.

Pembantu kantin itu berkata dia menerima berita mengenai kejadian itu pada jam 1 pagi selepas dihubungi anak sulungnya, Nurkristina Adila.

Sumber: Harian Metro

 

 

Share.

Leave A Reply