Walaupun diri sendiri kurang sihat, bukan halangan pasangan warga emas menjaga anaknya yang kini menghabiskan masa terlantar di katil apabila lumpuh seluruh badan sejak 15 tahun lalu.

Mustafa Abdullah, 68, dan Romlah Salleh, 63, tertumpu sepenuhnya kepada anaknya, Ramilawati, 43, yang tidak lagi mampu bergerak. Anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai penyakit saraf otak.

Romlah berkata, dia pada mulanya mengadu sakit kaki ketika berada di tahun akhir di UiTM Shah Alam, pada 2001.

Katanya, pada mulanya dia menyangka sakit kaki yang dialami Ramilawati hanya biasa saja, namun ia bertambah teruk apabila kedua-dua kaki mula kebas dan mengadu sakit seluruh anggota badan.

“Pada peringkat awal Ramilawati mengadu sakit kaki. Kami membawanya mendapatkan rawatan tetapi pada masa itu doktor tidak dapat mengesahkan penyakit yang dialami.

“Tahap kesihatannya semakin merosot apabila tidak lagi mampu berjalan. Namun dia sempat menghabiskan pengajian termasuk hadir ke majlis konvokesyen dengan bantuan kerusi roda,” katanya.

Romlah menceritakan penderitaan anaknya itu selepas menerima kunjungan ziarah kasih calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Setiu, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin di rumahnya di Kampung Mengabang Telung, Batu Rakit, di sini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Beliau berkata, sebaik tamat pengajian, Romilawati akhirnya disahkan doktor mengalami penyakit saraf otak. Selama 10 tahun, mereka berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Lebih menyedihkan, tahap kesihatan Ramilawati bertambah teruk dan disahkan lumpuh sepenuh badan dan tidak boleh bercakap pada tahun 2007.

“Kini, hanya mata saja menjadi isyarat. Ramilawati juga dipakai lampin pakai buang selain diberi minum susu menerusi tiub manakala mandi diurus sepenuhnya kami berdua,” katanya yang turut mengalami sakit urat dan lebam bahagian kaki.

Romlah berkata, anaknya ada menerima bantuan lampin pakai buang daripada Tabung Darul Iman, susu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM200.

Sementara itu, Bazlan berkata, pihaknya akan melihat keperluan yang diperlukan dari semasa ke semasa.

“Saya difahamkan Ramilawati ada menerima bantuan JKM dan lampin pakai buang daripada MAIDAM. Bagaimanapun, kita akan membantu jika keluarga ini memerlukan bantuan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply