Kanak-Kanak Syria Maut Dibom Ketika Pulang Dari Sekolah | SYRIA: Empat kanak-kanak yang dalam perjalanan pulang dari sekolah terbunuh akibat satu serangan bom tentera rejim, di sebuah bandar di Idlib, pada pagi Isnin.
Lapor AFP, serangan itu menyasarkan bandar Maarat al-Naasan yang berada di kawasan luar bandar utara wilayah Idlib.
Bandar tersebut terletak di barisan hadapan antara rejim dan pemberontak, yang juga menempatkan tempat pemerhatian Turki di pinggir bandar berkenaan.
Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria berkata tidak dapat dipastikan mengapa serangan bom oleh rejim itu menyasarkan bandar tersebut.
Pada 12 Februari lalu, tentera rejim telah menembak enam orang di bandar yang sama, yang juga melibatkan dua wanita dan dua kanak-kanak maut.
Peperangan di Syria telah membunuh kira-kira setengah juta orang dan menyebabkan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal.
SUMBER : AlHijrah Online