Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kini kritikal akibat kandungan methampethamine dalam badan dipercayai mengambil bahan larangan itu sebaik menemuinya di dalam kenderaan milik suspek.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun telah memberikan kenyataan mengenai kejadian itu kepada pemberita di sini, hari ini.
Siasatan mendapati mangsa berkemungkinan besar ditinggalkan oleh suspek berusia 30 tahun dalam kereta Proton Saga dinaiki mereka selepas mendapatkan bekalan dadah itu.
Pihak polis percaya suspek mengambil bekalan dadah dengan membawa mangsa bersama dalam kenderaannya.
Siasatan awal menunjukkan ada kemungkinan mangsa ditinggalkan dalam kereta dan ada lebihan dadah di dalamnya.
Sehubungan itu, pihak polis merampas kenderaan terbabit untuk dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, beliau dan isterinya melawat mangsa di Unit Rawatan Rapi Paediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Isterinya, Datin Suzana Yashin juga merupakan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kelantan.
Muhamad Zaki berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek yang mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa sudah beberapa kali membawa keluar kanak-kanak itu, namun tidak dapat dipastikan lokasinya.
Menurutnya, susulan kejadian itu, polis menahan sembilan individu berusia 19 hingga 40 tahun dalam serbuan berasingan beberapa ‘port’ dadah sekitar Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, semalam.
Katanya, seramai sembilan individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dilakukan di sekitar kampung berkenaan.
Malah, beliau turut mengarahkan agar siasatan lanjut diteruskan.
Sementara itu, ibu mangsa berusia 36 tahun berkata, keadaan anaknya menunjukkan petanda baik.
Anaknya memberi respons apabila namanya dipanggil walaupun dalam keadaan ditidurkan.
Katanya, walaupun belum lagi sedarkan diri, sudah ada sedikit pergerakan sebaik namanya dipanggil dan itu cukup melegakan baginya.
Harapannya agar anaknya dapat diselamatkan dan keadaannya yang menghidap kanser payudara tahap lima begini, sangat sukar untuk menguruskan keadaan sebegini.
Portal Harian Metro semalam melaporkan mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya.
Susulan itu, seorang buruh ditahan pada malam kelmarin untuk membantu siasatan.
Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit kes dadah direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Jun ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.