Kedah Perkenal Dua Jenis Durian Baharu Setanding Musang King! | SUNGAI PETANI: Jabatan Pertanian Negeri Kedah hari ini memperkenalkan varieti durian baharu dikenali D216 (J Sparrow) dan D217 (Jerai) yang ditanam di ladang durian di Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Datuk Azman Nasrudin, berkata durian klon itu akan menjadi produk baharu kepada penggemar durian di negara ini.

“Kedah menawarkan varieti durian baharu dan yakin ia bakal diterima baik, varieti durian klon D216 dan D217 ini memiliki rasa dan rupa bentuk tersendiri yang akan jadi permintaan tinggi dalam kalangan penggemar durian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan durian klon itu di ladang durian berkenaan dekat sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Kedah Ramli Abdul Rahman selain pengusaha varieti durian baharu itu Teoh Seng Khoon.

Mengulas lanjut, Azman berkata, antara ciri utama durian J Sparrow ialah isi utamanya berwarna keperangan dan kuning muda serta mempunyai aroma sederhana dengan purata kemanisannya ialah 35.3 peratus Brix, selain memiliki rasa pahit sederhana.

“Durian Jerai pula isi utamanya berwarna kuning muda dan ia mempunyai aroma yang kuat, purata kemanisannya pula adalah 35 peratus Brix. Ia mempunyai kepahitan sederhana, teksturnya sederhana kasar dan memiliki rasa berkrim yang kuat,” katanya.

Perbandingan durian D216 J Sparrow (kiri) dan D217 Jerai yang dihasilkan di Ladang Lot 5160, Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong, Kedah.

Azman berkata pihaknya mengharapkan pengusaha varieti durian itu dapat memperbanyakkan lagi penanaman pokok durian itu agar dapat dipasarkan dengan lebih meluas hingga ke luar Kedah.

Kini terdapat tujuh pokok durian varieti J Sparrow manakala 10 pokok bagi varieti durian Jerai.

Sementara itu, Seng Khoon berkata, orang ramai yang ingin merasai dua durian klon itu boleh datang terus ke ladang durian tersebut kerana ia belum dijual di pasaran luar setakat ini.

Beliau berkata, durian J Sparrow dijual antara RM35 hingga RM45 sekilogram manakala durian Jerai antara RM20 hingga RM35 sekilogram.

SUMBER : Berita Harian

Share.

Leave A Reply