“Kelulusan Permohonan Kahwin Bawah Umur Tunjuk Penurunan” – Menteri Hal Ehwal Agama | Khalifah Media Networks – Jumlah kelulusan permohonan kahwin bawah umur bagi orang Islam dilaporkan telah menunjukkan penurunan dalam tempoh tiga tahun selepas penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Permohonan Kahwin Bawah Umur.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad jumlah kelulusan kes permohonan kahwin bawah umur orang Islam dari 1 September 2018 hingga 31 Oktober 2021 adalah sebanyak 2,098 kes.
Ia dikatakan telah dibandingkan dengan jumlah kelulusan permohonan kahwin bawah umur. Dari 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018 yang dicatatkan bagi seluruh negeri di Malaysia iaitu sebanyak 2,885 kes.
Perbandingan jumlah yang dicatatkan dalam tempoh tiga tahun sebelum dan selepas penguatkuasaan SOP. Permohonan Kahwin Bawah Umur menunjukkan pengurangan sebanyak 787 kes.
Mengulas lanjut, Idris berkata Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah JAKIM Bil. 1/2021 pada 22 September 2021 berpendirian bahawa tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam.
Jelasnya, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengambil langkah bagi memastikan pihak yang memohon untuk berkahwin di bawah umur melalui satu proses penilaian yang ketat dalam memastikan kepentingan semua pihak terlibat dipelihara.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur. Melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bilangan 1 Tahun 2018. Yang berkuatkuasa pada 28 September 2018.
Sumber: Astro Awani