Kerajaan Setuju Kaji Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP | Kerajaan bersetuju untuk mengkaji saranan pengeluaran simpanan dalam Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat yang berdepan kesusahan dan benar-benar memerlukan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara membabitkan KWSP sememangnya isu panas yang dibangkitkan pelbagai pihak dan kumpulan yang meminta kerajaan menimbangkan supaya pencarum KWSP boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beberapa hari lalu.
“Belanjawan 2021 nanti ada bantuan yang kerajaan akan sampaikan. Jika ia dianggap memadai, tidak perlu mengeluarkan yang disimpan itu.
“Kita akan teliti secara halus dan (melihat keadaan) kumpulan tertentu yang dianggap teruk terjejas, contohnya mereka yang dibuang kerja.
“Kumpulan tersasar ini akan difikirkan… tunggulah pengumuman yang akan dibuat Menteri Kewangan nanti,” katanya pada Wawancara Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan sebelum ini sudah melaksanakan kelonggaran berhubung simpanan dalam KSWP termasuk membenarkan caruman pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus, selain i-Lestari yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun Dua sebanyak RM6,000 seorang.
Beliau berkata, selepas kelonggaran itu diberikan, hampir 70 peratus daripada ahli KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja 11 ke 7 peratus yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna membolehkan pencarum berbelanja, membabitkan jumlah hampir RM700 juta sebulan.
Namun, beliau berkata, lebih 30 peratus daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000, dan jumlah itu tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum.
Sumber : Hmetro