Kerajaan Taliban Lancar Program Atasi Kelaparan Dan Pengangguran | Kerajaan Taliban di Afghanistan dikhabarkan telah menjalankan satu program bagi mengatasi isu kelaparan dalam kalangan penduduknya menurut Roya News, baru-baru ini.
Antara program lain yang turut dijalankan oleh kerajaan terbabit adalah termasuk menawarkan ribuan rakyat Afghanistan gandum sebagai pertukaran tenaga kerja.
Menurut Ketua jurucakap Taliban pada satu sidang media di selatan Kabul menerusi Roya News, skim ini akan dilancarkan di sekitar pekan dan bandar Afghanistan selain dilihat dapat menggajikan 40,000 lelaki di Kabul.
Zabihullah Mujahid selaku ketua jurucakap Taliban berkata, untuk jangka masa panjang, ia adalah langkah penting untuk membasmi pengangguran kerana pada masa sukar, buruh perlu bekerja keras untuk teruskan kehidupan.
Sebelumnya, Afghanistan kini dilaporkan sedang dihimpit kemiskinan, kemarau, terputus bekalan elektrik dan kegagalan sistem ekonomi selain terkini sedang berdepan pula dengan permulaan musim sejuk terburuk.
Skim yang diberi nama Skim makanan untuk bekerja ini tidak akan membayar pekerja sebaliknya menyasarkan mereka yang kini menganggur dan paling berisiko berdepan kelaparan pada musim sejuk.
Program yang akan berlangsung selama dua bulan itu akan menyaksikan 11,600 tan gandum diedarkan di ibu negara, dengan kira-kira 55,000 tan diagihkan ke tempat lain di negara itu.
Ia termasuk dengan beberapa kawasan seperti Herat, Jalalabad, Kandahar, Mazar-i-Sharif dan Pol-i-Khomri.
Kerja buruh di Kabul kini dilaporkan sedang melakukan persiapan dengan menggali saluran air dan teres tadahan salji di bukit untuk menghadapi musim kemarau.
Sumber: Roya News