Kereta Terjunam Dalam Lubang Sedalam 4 Meter | Dua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota bomba apabila kenderaan yang dinaiki oleh mereka dilapor terjunam ke dalam lubang benam di Chatsworth, England pada malam Isnin.
Memetik laporan CBS News, lubang tersebut ditemui di Jalan Iverson di selatan Jalan Zaltana kira-kira jam 7.20 malam.
Difahamkan, selain sebuah kereta, terdapat satu lagi kenderaan jenis trak pikap yang turut sama terlibat dalam kejadian tersebut.
Dua mangsa yang berada di dalam kereta tersebut dilapor terperangkap apabila trak tersebut mendarat di atas kenderaan mereka manakala dua lagi mangsa yang terlibat sempat keluar daripada trak berkenaan tanpa sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, anggota bomba telah menggunakan tali dan tangga yang diletakkan di atas lubang benam sebelum bertindak untuk menurunkan seorang anggota bomba bagi menyelamatkan seorang wanita dan remaja.
Menurut Ketua Batalion LAFD, Andrew Wordin, banyak air yang telah mengalir turun dari laluan jalan di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, lebih banyak air telah mengalir turun dari jalan dan memenuhi lubang dan seperti yang dapat dilihat, terdapat bahagian jalan itu sendiri yang sudah terpisah dan retak yang menyebabkan kereta terus tenggelam.
Beliau juga menyatakan bahawa mereka terpaksa mengeluarkan mangsa dari kereta tersebut, jadi mereka membuat keputusan untuk menyelamatkan mangsa dari sudut tinggi dan menurunkan seorang penyelamat ke pintu sisi kereta.
Beliau berkata lagi, jalan itu terjejas sepenuhnya dan tidak boleh dilalui oleh pengguna jalan raya, malah ia juga tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecemasan.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke hospital setelah mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, pihak berkuasa menganggarkan lubang benam tersebut mempunyai kedalaman kira-kira 15 kaki (4 meter), namun setakat pagi Selasa, kenderaan berkenaan dilihat tertimbus dengan lebih dalam ke dalam lumpur.
Susulan kejadian, lubang benam itu telah merentasi lorong arah selatan Jalan Iverson, malah jalan juga ditutup kepada lalu lintas.
Sumber: Siakap Keli
Artikel Lain
Kereta Terjunam Dlm Laut Ketika Beratur Naik Feri.
Kereta Terjunam Dlm Laut Ketika Beratur Naik Feri. | BANTEN: Sepasang suami isteri berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang mereka naiki terjatuh ke dalam laut ketika ingin memasuki feri kenderaan di Dermaga Dua Pelabuhan Merak, di sini pada Jumaat lalu.
Ketika kejadian, pasangan suami isteri tersebut iaitu Yunianto Pramono dan Natasha Rosa yang berasal dari Depok dalam perjalanan ke Palembang.
Pasangan itu kini menerima rawatan di hospital selepas diselamatkan pasukan penyelamat dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Menteri Perhubungan, Budi Karya Sumadi meminta PT ASDP Indonesia Ferry selaku pengendali pelabuhan bertanggungjawab terhadap insiden terbabit.
Beliau meminta syarikat tersebut membayar ganti rugi dan menanggung kos rawatan pasangan suami isteri berkenaan berhubung kejadian yang berlaku.
“Kita minta pihak yang bertanggungjawab menguruskan semua keperluan yang diperlukan mangsa kerana kejadian ini berlaku akibat kecuaian,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Selain itu, Budi juga menggesa supaya syarikat berkenaan menilai semula dan membaiki mana-mana sistem serta perkhidmatan yang sudah uzur agar insiden serupa tidak berulang.
Katanya, insiden yang berlaku boleh dijadikan pengajaran buat semua pelabuhan di negara ini supaya tidak mengambil mudah semua perkara sehingga berlakunya insiden yang tidak diingini.
“Pertama kali, atas nama Kementerian Perhubungan, kami ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku dan kejadian tersebut merupakan pengajaran penting buat kita semua,” ujar Budi.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, ketika kenderaan mangsa ingin memasuki feri tersebut, tali yang menahan pengangkutan air berkenaan tertanggal sehingga menyebabkannya bergerak, lalu kenderaan terbabit terjunam ke dalam laut.
Sumber : UM