Kes Kompaun Pelajar Matrik Selesai, Tidak Perlu Bayar Kompaun | Sebelum ini pernah menjadi berita yang hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila beberapa orang pelajar Matrikulasi telah dikompaun oleh Pihak kementerian Kesihatan kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di kafeteria yang terletak di dalam pusat pengajian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin dipetik Bernama berkata, ini susulan pertemuan antara pihaknya dengan pihak kolej, Pusat Kesihatan Kampar dan Pengarah Kesihatan Perak baru-baru ini.
Dengan itu, kes enam orang pelajar dari Matrikulasi Perak Yang terletak di Gopeng telah selesai disiasat dan mereka juga tidak perlu membuat sebarang bayaran. Jadi keenam-enam mereka tidak perlu lagi runsing dengan denda yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini.
Mohd Akmal Kamaruddin turut memaklumkan bahawa dia ingin bertemu dengan salah seorang bapa daripada enam orang pelajar itu bagi memaklumkan bahawa kes mereka itu telah selesai. Beliau membantu menyelesaikan kes mereka itu kerana mereka bakal menghadapi peperiksaan dan tidak mahu pemikiran mereka terganggu.
Pada 19 April lepas, tular di media sosial enam pelajar berkenaan dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka. Tindakan itu menerima kritikan netizen kerana pelajar terbabit dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan dan tidak dibenarkan keluar.
KKM dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.
Mohd Akmal memaklumkan seramai 30 Ahli Jawatankuasa (AJK) di dua masjid di Kamunting dan Taiping disahkan positif COVID-19. seramai 27 individu membabitkan AJK dan jemaah di Masjid Kampung Expo, Kamunting dan tiga dari Masjid Pokok Asam di Taiping. siasatan mendapati seorang AJK Masjid Kampung Expo telah pergi ke Pangkor sebelum terbabit dengan aktiviti bertadarus di masjid itu.
Mohd Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkata ujian calitan telah dijalankan ke atas jemaah di kedua-dua masjid berkenaan bagi mengetahui sama ada mereka dijangkiti COVID-19.
Sumber: Free Malaysia Today