Kluster Pendidikan, 13 Buah Sekolah Di Negeri Sembilan Pula Diarah Tutup | Kluster dalam kalangan pendidikan seperti tiada kesudahan selepas tular terdapat 13 buah sekolah di Negeri Sembilan telah diarahkan tutup kerana terdapat warga di sekolah-sekolah terbabit didapati positif Covid-19.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab, 13 sekolah yang telah diarahkan tutup adalah di daerah Seremban iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SJKC Pei Hua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Height, SK Taman Seri Mawar, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, SJK Tamil Covent, SK Senawang 3, SK Mantin dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu.
Selain itu, sekolah yang turut diarahkan tutup adalah sebuah sekolah di Tampin iaitu SK Kampung Ladang Gemas dan sebuah sekolah di Port Dickson iaitu SMK Kampung Baru Si Rusa manakala pada hri seterusnya SJKC Sino English di Seremban turut diarahkan untuk tutup.
Arahan penutupan tersebut dikatakan bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terbabit membuat penilaian risiko serta pengesanan kontak rapat oleh PKD. Penutupan juga dilakukan bagi pihak PKD membuat proses disinfeksi di kawasan-kawasan sekolah terbabit.
Terdapat beberapa sekolah juga dikatakan telah dilanjutkan penutupannya melebihi tempoh dua hari susulan penilai yang dibuat oleh PKD di sekolah-sekolah tersebut namun kebanyakan sekolah yang membabitkan kes positif yang sangat minima iaitu secara purata satu kes kecuali di SMK Seremban 2.
Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kesihatan anak-anak mereka tetapi ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak untuk mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di sekolah dan semasa berulang-alik ke sekolah.
Empat buah sekolah telah dilanjutkan tempoh penutupan seperti SMK Seremban 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nilai, SK Desa Cempaka di Nilai dan SK Port Dickson.
Sumber: Astro Awani