Lagi Remaja Palestin Maut Ditembak Tentera Israel | RAMALLAH: Seorang warga Palestin mati ditembak oleh tentera Israel di utara Tebing Barat yang diceroboh, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan lelaki itu dibunuh semasa pertempuran dengan tentera dan pasukan perisik Israel dalam samaran di kem pelarian Jenin.
Lelaki itu kemudiannya disahkan meninggal dunia setibanya di hospital kerajaan Jenin selepas ditembak oleh tentera penceroboh Israel, kata Kementerian Kesihatan dalam kenyataan.
Menurut sumber tempatan, mangsa dikenali sebagai Dhirar Riyad al-Kafrini, 17.
Seorang jurucakap polis sempadan Israel memberitahu AFP, ejen yang menyamar diarahkan oleh agensi keselamatan tempatan, Shin Bet, untuk memasuki kem berkenaan dan menahan dua suspek terbabit dengan kegiatan keganasan.
Difahamkan, mereka berjaya menahan seorang anggota kanan kumpulan pejuang Palestin, Bassam al-Saadi, dalam serbuan yang meragut nyawa remaja Palestin itu.
“Apabila pejuang memasuki Jenin, tembakan dilepaskan oleh beberapa pengganas ke arah pejuang, yang membalasnya dengan tembakan,” kata jurucakap terbabit.
Kem Jenin adalah sebuah kawasan tumpuan serbuan oleh tentera Israel, susulan satu gelombang serangan regim Yahudi itu, beberapa bulan lalu.
Sekurang-kurangnya 55 warga Palestin terbunuh sejak Mac lalu, kebanyakan di Tebing Barat.
Mereka termasuklah suspek militan dan orang awam, termasuk seorang wartawan Al-Jazeera yang memiliki dua warganegara iaitu Palestin dan Amerika Syarikat (AS), Shireen Abu Akleh, ketika membuat liputan satu serbuan oleh pihak Israel di Jenin.
Dalam tempoh masa yang sama, 19 mangsa, majoritinya rakyat Israel selain tiga penyerang Arab Israel, terbunuh akibat serangan oleh Palestin.
SUMBER : BH