Lahirkan Ramai Pemandu Cuai, JPJ Tak Teragak-Agak Akan Batalkan Permit Pusat Pemandu | Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak teragak-agak untuk menggantung atau membatalkan permit institut memandu yang didapati melahirkan ramai pemandu cuai yang terbabit dalam nahas atau melanggar peraturan.

Lahirkan Ramai Pemandu Cuai, JPJ Tak Teragak-Agak Akan Batalkan Permit Pusat Pemandu

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, tindakan itu boleh diambil selepas pelaksanaan sistem kod pendigitalan yang dapat mengesan dari mana sesuatu lesen dikeluarkan bermula tahun ini.

“Tindakan bakal dikenakan terhadap pemandu termasuklah membatalkan lesen, bergantung kepada kesalahan selepas diputuskan oleh mahkamah.

“Selain itu, permit institut memandu juga boleh digantung atau dibatalkan, malah sijil tenaga pengajar boleh ditarik balik sekiranya didapati ada ramai pemandu yang belajar di situ melakukan kesalahan trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM), Zon Timur di Akademi Memandu Anda di Melor di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, JPJ akan membuat pemeriksaan berkala mengenai kesalahan atau faktor infrastruktur yang menyebabkan pemandu disaman melalui sistem kod pendigitalan pada lesen pemandu.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, berdasarkan rekod lebih kurang 10,569 pengajar SPIM telah disijilkan selari dengan Kaedah 11(4) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.

“Bagaimanapun, terdapat lebih kurang 1,779 permohonan tertunggak yang masih belum diselesaikan akibat daripada sekatan aktiviti program seperti pelaksanaan kursus, seminar, bengkel, latihan dan ceramah,” katanya.

Sumber : Utusan 

Share.

Leave A Reply