Pesawat ringan yang terhempas di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini semalam, dilihat terbang terlalu rendah sebelum melanggar tiang lampu.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Wan, 41, berkata, dia terkejut dan panik melihat pesawat itu dalam keadaan sedemikian seolah-olah mahu terhempas.
Malah katanya, enjin pesawat tersebut juga mengeluarkan bunyi yang pelik ketika dilihat sekitar pukul 8 malam.
Ketika kejadian, dia baru selesai mengisi minyak motosikal di stesen minyak berhampiran.
Kemudian, dia terkejut melihat sebuah pesawat yang terbang pada paras yang terlalu rendah.
Dia segera membuat pusingan U untuk melihat arah pesawat itu pergi.
Dia terkejut apabila pesawat tersebut melanggar tiang lampu berhampiran kunci air sebelum berpusing dan jatuh terjunam.
Menurut lelaki itu, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam keadaan panik, dia segera menghubungi talian 999 dan pasukan keselamatan untuk bantuan.
Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Haizad, 22, turut berkongsi detik kejadian itu.
Dia yang berada di rumah ketika kejadian terkejut apabila mendengar bunyi hentaman kuat dari luar rumah.
Katanya, meskipun kawasan kejadian itu berhampiran dengan akademi penerbangan namun dia sama sekali tidak menyangka bunyi kuat itu datang daripada pesawat yang terhempas.
Dia beranggapan mungkin kemalangan biasa kerana rumahnya berdekatan dengan jalan utama.
Oleh itu, dia tidak terus keluar selepas dengar bunyi hentaman itu.
Dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan menerusi WhatsApp.
Apabila melihat gambar tersebut, barulah dia menyedari kejadian itu sangat dekat dengan rumahnya.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut manakala rakannya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, parah.
Muhammad Din Fikri yang merupakan ketua jurulatih penerbangan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, pesawat PIPER 28 yang terhempas itu berlepas dari Bats Aviation Sdn. Bhd. (BATS) dekat sini.
Sumber: Utusan Malaysia