Lantang Kritik Trump. Ini Respon Balas Kedutaan AS Kepada Tun Mahathir

| February 9, 2020 | 0 Comments

Lantang Kritik Trump. Ini Respon Balas Kedutaan AS Kepada Tun Mahathir | Baru ni Tun Mahathir lantang kritik dasar Amerika di Timur Tengah. Tidak puas hati, ini respon balas kedutaan AS kepada Perdana Menteri Malaysia. Baca selanjutnya.

KEDUTAAN AMERIKA KECEWA

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa Presiden negara itu, Donald Trump agar meletak jawatan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, kedutaan itu berkata, kenyataan Perdana Menteri itu tidak mempamerkan semangat dialog yang membina yang telah menjadi asas hubungan antara kedua-dua negara di dunia sejak sekian lama.

“Kami kecewa dengan kenyataan Dr. Mahathir mengenai Presiden Trump. Sepanjang sejarah, hubungan Malaysia dengan AS telah menghasilkan keputusan yang penting kepada rantau ini dan global terutamanya kerjasama dalam bidang keselamatan, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan alam sekitar,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas menyampai ucaptama pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) kelmarin susulan keputusan Trump mengumumkan pelan damai Timur Tengah yang dikenali sebagai ‘Deal of the Century’.

Dr Mahathir berkata, keputusan Trump tidak adil kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia.

TUN MAHATHIR SELAR DASAR AMERIKA

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar keputusan terkini Amerika Syarikat (AS) ke atas status penempatan Israel di dalam wilayah Palestin yang disifatkan tidak masuk akal kerana seolah-olah mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang mengumumkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram menggambarkan negara kuasa besar itu secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa atau resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina penempatan, kini ia adalah sah dan dihalalkan. Kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah yang dibuat oleh pentadbiran Trump itu mencetuskan kemarahan pada peringkat antarabangsa kerana bertentangan dengan keputusan pentadbiran AS pada 1978 yang mengisytiharkan penempatan tersebut sebagai haram dan tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut melahirkan perasaan bimbang kerana pengumuman terbabit akan menggalakkan lagi kekejaman tentera Israel yang ketika ini ghairah melakukan pembunuhan dan serangan ganas ke atas Gaza yang mana laporan menyatakan ramai kanak-kanak terkorban.

“Anda mengumumkan bahawa penempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan keganasan di Gaza… tidakkah ini akan menggalakkan mereka untuk membunuh kanak-kanak dan orang awam, malah mereka tidak akan dihukum?

“Sebaliknya mereka diberi ganjaran untuk membina penempatan di tanah penduduk yang mati dibunuh mereka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: DUNIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *