NEW DELHI – Seorang lelaki di negeri Madhya Pradesh, India membelasah teman wanitanya yang berusia 19 tahun selepas gadis berkenaan meminta untuk mengahwininya lapor portal berita India Today semalam.
Lelaki yang dikenali sebagai Pankaj Tripathi, 24, itu telah diberkas manakala video kejadian yang didakwa berlaku Rabu lalu tular di platform media sosial.
Menurut seorang pegawai polis, Naveen Dubey, maklumat awal menunjukkan lelaki dalam video itu ialah penduduk kampung Dhera di kawasan Mauganj.
Suspek dan mangsa dikatakan sedang menjalin hubungan cinta sebelum mangsa dibelasah selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua.
Dalam video yang sama, mangsa meminta tertuduh mengahwininya dan lelaki berkenaan pada mulanya dilihat mempamerkan riak wajah menjengkelkan, sebelum mula menendang serta menampar mukanya berulang kali.
Suspek pada awalnya ditahan di bawah seksyen 151 iaitu atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam tetapi dibebaskan kerana mangsa enggan membuat sebarang aduan terhadapnya.
Bagaimanapun, apabila video serangan itu tersebar, kes di bawah seksyen 323 iaitu mendatangkan kecederaan secara sukarela dan peruntukan lain Kanun Keseksaan India yang berkaitan telah dikenakan terhadap suspek.
Mangsa juga membuat aduan terhadap orang yang merakam kejadian tersebut dan menyebarkan video itu.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Anak ‘Belasah’ Ibu Ayah Kerana Dendam Hantar Sekolah Asrama 40 Tahun Lalu
Padah menyerang ibu bapanya kerana berang menghantarnya ke sekolah berasrama 40 tahun lalu, seorang lelaki diletakkan di bawah perintah rawatan hospital mental.
Perkhidmatan Pendakwaan Crown (CPS) berkata, Ed Linse, 51, dari Watford, memukul bapanya, Nicholas Clayton, 85, dan ibunya Julia, 82, selepas memecah masuk rumah mereka di Nether Alderley, Cheshire, pada 22 April lalu.
Mahkamah Crown Chester mendengar, Linse mempunyai hubungan yang bermasalah dengan ibu bapanya sepanjang hayatnya walaupun dia berhadapan banyak isu kewangan, namun ibu bapanya cuba membantunya.
Ibu Linse memberitahu mahkamah, Linse kerap bercakap mengenai rasa tidak senangnya apabila dia dihantar ke sekolah berasrama penuh semasa kecil iaitu kira-kira 40 tahun lalu.
Wanita itu berkata, sejak itu Linse bengang dan sentiasa mempunyai perasaan tidak senang terhadap mereka berdua.
Angie Rowan, Pendakwa Raya Kanan Crown, berkata, Linse mendakwa membenci ibu bapanya kerana menghantarnya ke sekolah berasrama semasa kanak-kanak.
Katanya, walau apa pun isu di sekelilingnya, dia meletakkan ibu bapanya sebagai mendera emosi dan penyebab masalah kewangan selama bertahun-tahun.
Dalam kejadian April lalu, Linse menyerang bapanya di dalam bilik tidur, menyebabkan warga emas itu cedera parah di tangan, kepala dan telinga selain pendarahan otak.
Linse kemudian bergerak ke bilik ibunya, sebelum memukul kepalanya hingga mengakibatkan lebam di belakangnya.
Selepas serangan itu, dia melarikan dengan memadu kenderaan dan ibunya menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Polis menahan Linse di dalam keretanya berhampiran Woodstock, Oxfordshire.
Siasatan lanjut mendapati, Linse memberikan kenyataan ‘samar-samar’ dan kadangkala tidak jelas.
Pada 7 November mahkamah memutuskan, Linse menjalani perintah hospital berdasarkan laporan psikiatrinya.
Dia mengaku bersalah kerana niat mencederakan bapanya dan memukul ibunya.
Sumber: KMN