Lelaki India Mati Kemalangan Ditemui ‘Hidup’ Semula Di Rumah Mayat. | SEORANG lelaki di India yang diisytiharkan telah mati selepas kemalangan jalan raya mengejutkan saudara-maranya apabila dia didapati masih bernafas walaupun semalaman ditempatkan di dalam peti sejuk bilik mayat hospital.
AFP melaporkan, Srikesh Kumar, dikejarkan ke klinik dalam keadaan kritikal selepas dilanggar sebuah motosikal di Moradabad, timur ibu negara New Delhi.
Dia kemudiannya dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta dan sebaik tiba, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh doktor, kelmarin.
Penguasa perubatan, Rajendra Kumar berkata, Jumaat lalu, ‘mayat’ Srikesh dibawa ke hospital kerajaan untuk proses bedah siasat, di mana pegawai perubatan kecemasan memeriksanya.
“Doktor kerajaan juga tidak menemui sebarang tanda menunjukkan pemuda itu masih hidup dan dengan itu mengisytiharkan kematiannya,”katanya.
Menurut doktor berkenaan, polis turut dimaklumkan berhubung kes kematian itu dan mayatnya dimasukkan ke dalam peti sejuk bilik mayat sehingga keluarga pemuda itu tiba enam jam kemudian.
“Apabila sepasukan polis dan keluarganya datang untuk membuka kertas kerja berhubung bedah siasat itu, dia ditemui masih hidup.
“Ini sudah tentu satu keajaiban yang besar,” katanya.
Rajendra turut memberitahu, lelaki berusia 45 tahun itu sedang menjalani rawatan lanjut dan masih dalam keadaan koma.
Sementara itu, satu siasatan sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana doktor tersilap mengumumkan kematian lelaki itu.
Sumber: UtusanTV