Kebakaran sebuah kediaman di Jalan Sungai Meliu Mador di sini, awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada pemilik rumah sendiri, seorang lelaki kurang siuman, yang dikatakan membakar kertas.
Kediaman itu didiami lelaki terbabit yang berusia 43 tahun bersama seorang anak perempuan berumur 20 tahun dan seorang anak lelaki berusia 18 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Pegawai Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, ahli keluarga memaklumkan bahawa pemilik rumah dikatakan kurang siuman.
“Sebelum kejadian, pemilik rumah dikatakan berkelakuan aneh dan sering membakar cebisan kertas.
“Ini mungkin penyebab kediaman mereka terbakar,” katanya pada kenyataan hari ini.
Nicholas berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.21 pagi dengan menggerakkan anggota BBP Bintngor ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berstruktur kekal terbakar keseluruhan. Semasa kebakaran seramai tiga orang penghuni rumah berjaya keluar dan selamat.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.56 pagi dan tamat sepenuhnya jam 3.10 pagi,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Penghuni Pondok Sayu Lihat Rumah Terbakar, Mampu Laung Azan
“Sayu melihat penghuni pondok melaungkan azan di hadapan beberapa rumah yang terbakar sebelum bomba datang membantu,” luah Mohammad Zulikhwan Azhar, 24.
Mohammad Zulikhwan adalah antara saksi awal kejadian kebakaran yang memusnahkan 10 rumah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh, di sini, 5 petang kelmarin.
Dia yang terkejut melihat api yang sedang marak terus menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan selain bergegas ke lokasi bagi menghulurkan bantuan
“Nasib baik, ketika kejadian saya dimaklumkan bahawa kesemua penghuni rumah terbabit berada di masjid menunaikan solat Asar.
“Saya berada di lokasi kejadian menyaksikan wajah-wajah penghuni rumah yang terpaksa reda melihat barangan dan harta benda mereka musnah dijilat api.
“Bagaimanapun, keadaan terkawal dan tiada yang bertindak masuk ke rumah kerana akur dengan bahaya dan hanya mampu melaungkan azan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi.
Dia yang berasal dari Kampung Terusan, di sini, berkata, pondok pengajian Islam itu hanyalah berjarak 500 meter daripada kediamannya sekeluarga.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Jainal @ Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada 5.03 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian membabitkan kebakaran 10 rumah dengan anggaran kemusnahan adalah lebih 90 peratus daripada keseluruhan struktur. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 7.01 malam,” katanya.
Sumber: KMN