Seorang lelaki yang dikatakan berada dalam keadaan mabuk,  tertidur di atas motosikal di tepi sebatang jalan yang sibuk, lapor portal berita Okezone kelmarin.

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu di Kota Tangerang, wilayah Banten, yang menyebabkan polis tiba untuk memeriksa keadaannya.

“Kami mendapat laporan penduduk setempat bahawa ada orang sedang tidur di atas motosikal di laluan jambatan.

“Kami bertindak dengan pantas dan melihat keadaan lelaki itu serta mengejutkannya daripada tidur untuk keselamatannya,” kata Ketua Polis Metro Tangerang, Komisioner Zain Dwi Nugroho.

Selepas dia dikejutkan, polis mendapati lelaki itu  tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah.

“Dia disahkan tidak melakukan sebarang aktiviti jenayah namun, tindakannya (tidur) itu membahayakan keselamatan dirinya dan pengguna jalan raya yang lain.

“Keadaan jalan raya tersebut amat sibuk dengan kenderaan yang banyak pada waktu pagi dan berisiko mengakibatkan kemalangan,” ujar Zain.

Tambah Zain, penunggang motosikal tersebut sebenarnya berada dalam keadaan mabuk semasa dia tertidur. Dia membuat keputusan untuk berhenti tidur di tepi jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Kita bangunkan dia dan dia mengakui mabuk semasa tertidur. Selepas dikejutkan, dia mengaku badannya sudah berasa segar dan normal seperti biasa,” kata Zain.

Lelaki tersebut kemudian meneruskan perjalanannya untuk pulang ke rumah selepas meminta maaf atas perbuatannya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Lelaki Mabuk Tiba-tiba Serang Penceramah Di Surau

Polis menahan seorang lelaki mabuk selepas disyaki menyerang penceramah agama di sebuah surau dekat Taman Universiti, Skudai di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 7.55 malam.

Menurutnya, suspek berusia 38 tahun itu dikatakan meluru masuk ke dalam surau dan menyerang penceramah agama itu menggunakan dua pisau dan satu botol arak.

“Suspek didapati berada dalam pengaruh alkohol dan tindakannya itu dapat dihalang jemaah lain sebelum mereka menghubungi polis.

“Kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di surau berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dua pisau serta botol arak yang digunakan suspek dalam kejadian itu turut dirampas.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek seorang penganggur dan merupakan orang dikehendaki berkait kes dadah di kontinjen lain.

“Saringan awal air kencing suspek mendapati dia negatif dadah dan mahkamah juga sudah membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap suspek,” katanya.

Fariz Ammar berkata, siasatan awal polis juga mendapati mangsa tidak mengenali suspek serta lelaki itu juga tiada motif lain dan hanya menyerang kerana berada dalam pengaruh alkohol yang berlebihan serta hilang kawalan diri.

Katanya, polis sudah merakam keterangan saksi di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 352 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply