Lelaki Mengamuk. Kurung Ibu Dan  2 Anggota Polis Ditetak. | KOTA KINABALU: Seorang lelaki disyaki kurang siuman bertindak menetak dan mencederakan dua anggota polis yang cuba menyelamatkan ibunya yang dikurung oleh suspek dalam bilik di sebuah rumah di Mengggatal semalam.

Mengamuk

BEKAS PESAKIT HOSPITAL MESRA

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, lelaki berusia 44 tahun yang merupakan bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang itu menetak dan mencederakan pegawai kanan dan anggota polis berkenaan semasa berlaku pergelutan ketika pasukan serbuan cuba menyelamatkan ibu suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua pegawai dan anggota mengalami kecederaan di bahagian lengan, kepala dan bahu kanan.

Sebelum itu, pihaknya menerima aduan lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong daging telah mengamuk dan bertindak mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah.

Bertindak atas aduan, Mohd. Zaidi bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah serta sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah telah ke lokasi kejadian.

“Suspek telah dipujuk untuk menyerah diri namun, beliau enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya. Selepas itu suspek bertindak mengunci diri bersama ibunya dalam bilik tidur.

“Selepas usaha memujuk suspek selama hampir dua jam menemui kegagalan dan tiada tanda-tanda suspek mahu bekerjasama untuk menyerah diri dan membebaskan ibunya maka, pihak polis bertindak menyerbu masuk ke bilik berkenaan.

SERBU BILIK. 2 ANGGOTA POLIS DITETAK

“Pasukan serbuan bertindak memecahkan pintu bilik tidur tersebut dan berjaya menyelamatkan ibu suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, semasa pasukan serbuan masuk ke dalam bilik berkenaan, suspek telah bertindak agresif hingga berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan dan suspek bertindak menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan seorang anggota berpangkat Sarjan.

Jelas beliau, suspek mengamuk sedemikian kerana dipercayai tidak mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital.

Kes disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Sumber : UM

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

 

[VIDEO] Seorang Lelaki Mengamuk Di Kedai Makan Bengang Dipanggil ‘Pakcik’. | SUBANG JAYA – Berang disapa sebagai pak cik, sebaliknya mahu dipanggil ‘abang’ atau ‘baby’, seorang lelaki bertindak keterlaluan dengan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas dalam kejadian di sebuah restoran sekitar Putra Height pada Ahad.

KANAK-KANAK CEDERA

Tindakan tersebut menyebabkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun terkena air minuman panas tersebut.

Insiden itu telah tular dan mendapat kecaman daripada netizen.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi pada 4 Jun itu menyaksikan pengadu bersama pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah restoran, namun secara tiba-tiba seorang lelaki bertindak agresif.

Beliau berkata, suspek menjerit dan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas ke dalam restoran dan terkena anak pengadu berumur empat tahun.

Kata beliau, pengadu telah membuat laporan polis pada Selasa, setelah mendapati video di kedai makannya itu tular di media sosial.

Jelasnya, hasil siasatan dijalankan, kejadian berpunca daripada selisih faham antara pekerja pengadu dengan suspek.

“Suspek merupakan pelanggan yang membeli makanan dan minuman di restoran tersebut.

“Pekerja pengadu telah memanggil suspek dengan panggilan pak cik, tetapi suspek meminta pekerja pengadu memanggil dirinya dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’.”Namun perkara itu tidak diendahkan oleh pekerja pengadu dan terus memanggil suspek dengan panggilan pak cik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, setelah pekerja pengadu menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan, suspek terus bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun serta mengugut akan merosakkan harta benda.

SUSPEK MULA BUAT KACAU

Menurutnya, suspek telah bertindak membuat kacau di kedai pengadu dengan membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran.

Tambahnya, suspek juga telah membaling beberapa biji kerusi dalam kedai dan menendang meja kedai beberapa kali sehingga mendatangkan ketakutan serta gangguan kepada pelanggan lain yang berada dalam restoran.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu katanya, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dilakukan.

“Pihak polis meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat jika terlihat suspek atau menghubungi talian Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya iaitu 03-78627100.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-33094457 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply