KAJANG – Sengaja memulakan kebakaran di dalam rumah dan mengancam membunuh diri dengan sebilah pisau, seorang lelaki warga Nepal berjaya ditenangkan bomba dalam kejadian di sebuah rumah kedai, Hentian Kajang, Jalan Reko, di sini.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.49 pagi sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
Sebanyak sembilan anggota lain-lain pangkat berserta dua buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kebakaran dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.
“Laporan awal mendapati, kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai bangunan tiga tingkat terbakar 30 peratus di tingkat dua.
“Namun begitu, di dalam rumah tersebut terdapat seorang lelaki warga Nepal lingkungan 20-an memegang sebilah pisau dan mengancam untuk membunuh diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran tindakan lelaki tersebut, bomba berjaya memujuk mangsa dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dilaporkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Remaja Diancam, Diugut Bunuh Oleh Jiran. Sebabnya Buat Ramai TERKEJUT!
Seorang remaja mengalami hal yang tidak dijangka selepas jiran sanggup ugut bunuh, selain kerap mengancam keselamatan ahli keluarga akibat ditegur mencuri seluar dalam wanita.
Remaja yang tinggal di bandar raya ini itu mendakwa jiran lelaki berusia 40-an terbabit mencuri seluar dalam wanita yang dijemur di ampaian rumah, malah gemar menghendap.
Katanya, keluarganya mula menyedari perkara itu sejak setahun lalu.
Ujarnya, mereka sekeluarga memang pelik apabila seluar dalam ibu kerap hilang. Awalnya, hanya menyangka ibu pelupa dan tidak meletakkan pakaiannya di tempat sesuai.
Sambungnya, bagaimanapun apabila menyedari ia perbuatan jiran, mereka mula bimbang dan juga pernah mengadu perkara berkenaan kepada keluarga jiran terbabit.
Menurut remaja itu, selepas perbuatan lelaki terbabit dimaklumkan kepada keluarganya, jirannya itu bertindak lebih berani mengulangi perbuatannya, malah menghendapnya ketika berseorangan di rumah.
Katanya, lelaki itu juga bertindak agresif apabila sengaja membaling sisa jubin dan batu ke rumah mereka.
Tambahnya lagi, yang ebih membimbangkan, lelaki berkenaan mengugut mahu memukul dan membunuh. Mereka dikatakan telah membuat laporan polis sejak April tahun lalu di Balai Polis Majidee dan berharap masalah ini dapat diatasi dan tidak berulang.
Jelas remaja berkenaan, berikutan kejadian ini, hampir tiga minggu tidak bersekolah kerana bimbang dengan keselamatan diri.
Keluarga remaja itu membuat laporan susulan di Balai Polis Majidee di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan terbabit.
Menurutnya, suspek sudah ditahan dan direman selama empat hari mulai hari ini hingga 5 November depan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sumber: KMN