Seorang lelaki di Iran yang tidak pernah mandi selama 67 tahun kerana bimbang dijangkiti penyakit meninggal dunia pada usia 94 tahun. Dia meninggal beberapa bulan selepas pertama kali membersihkan badannya.

Amou Haji digelar ‘lelaki paling kotor di dunia’ kerana mengelak daripada mandi. Dia bagaimanapun kekal sihat walaupun bertahan hidup dengan hanya memakan bangkai landak mentah yang mati dilanggar serta meminum air lopak jalan yang diisi di dalam tin minyak berkarat.

Jiran-jirannya berjaya memujuknya pada awal tahun ini untuk mandi selepas memberikan alasan bahawa tiada kawan dan teman wanita akan mendekatinya jika tidak membersihkan badan.

Agensi berita Iran, IRNA memetik sumber sebagai berkata, penduduk kampung buat kali pertama membawa lelaki yang tidak pernah berkahwin itu ke bilik air untuk mandi beberapa bulan lalu.

Walau bagaimanapun, dia jatuh sakit tidak lama selepas itu dan meninggal dunia Ahad lalu.

Haji pernah dilaporkan melompat dari kereta yang sedang bergerak disebabkan enggan mandi. Penduduk kampung kemudian mengikatnya untuk membawanya ke sungai.

Walaupun jiran-jiran menghormatinya, ada dalam kalangan penduduk kampung yang datang untuk mengejeknya. Ada juga yang membaling batu ke arah Haji yang tinggal di dalam sebuah pondok batu itu.

Para saintis berminat untuk mengetahui kisah mengenai lelaki itu. Mereka ingin mengkaji jenis hidupan yang mungkin berada pada tubuhnya.

Mereka bagaimanapun terkejut apabila mendapati Haji tidak dijangkit sebarang bakteria atau parasit lain selain daripada Trichinosis. Ia adalah sejenis bakteria yang menjangkiti individu yang memakan daging mentah dan menyebabkan jangkitan biasa.

Sebuah filem dokumentari pendek bertajuk ‘The Strange Life of Amou Haji’ juga telah diterbitkan pada 2013 bagi menceritakan mengenai kehidupannya.

Sumber: Kosmo

 

Share.

Leave A Reply