Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas diserang sawan ketika berada dalam bilik air di rumah neneknya di Kampung Telok Wang Besar, Sungai Pasir dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa Nur Arisa Qaisara Abdullah, 11, ditemukann ahli keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepalanya berada dalam besen.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit tinggal bersama neneknya kerana mudah untuk dijaga berikutan kerap diserang sawan.
“Ibu kanak-kanak terbabit bekerja menyebabkan dia terpaksa meninggalkan mangsa untuk dijaga neneknya yang tinggal dalam kawasan kampung yang sama.
“Ketika kejadian, kanak-kanak itu memberitahu yang dia mahu membuang air besar namun neneknya yang curiga menolak pintu bilik air sebelum mendapati cucunya itu tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kepala kanak-kanak terbabit ketika itu berada dalam besen yang airnya hanya paras pergelangan tangan dan ibunya yang tiba menghubungi ambulans dan jiran untuk meminta bantuan.
“Pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kanak-kanak terbabit sudah meninggal dunia dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod penyakit sawan sejak beberapa tahun lalu.
“Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu perlu mengambil ubat sawan dua hari sekali setiap 12 jam,” katanya.
Zaidy berkata, tiada unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Jenazah murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Teluk Wang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, dekat sini semalam.
Sumber : Harian Metro