Lelaki Rakyat Singapura Mohon Pelbagai Jawatan Dalam Kerajaan Untuk Curi Maklumat | Dalam dunia perisikan, perkara paling ditakuti bukanlah kekuatan pasukan lawan sebaliknya musuh dalam selimut iaitu individu dalam agensi perisikan itu sendiri yang menjadi talam dua muka membocorkan maklumat atau menjual rahsia kepada musuh.

Lelaki Rakyat Singapura Mohon Pelbagai Jawatan Dalam Kerajaan Untuk Curi Maklumat

Sebaliknya yang berlaku di Singapura apabila terdapat seorang rakyat Singapura, Dickson Yeo yang ditahan kerana menjadi perisik China sejak 2016 telah memohon pelbagai pekerjaan dalam kerajaan bagi mengakses maklumat yang akan menarik minat pengaruh asing, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Yeo, 40, ditahan dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), semalam, kerana menjadi satu ancaman kepada Singapura.

Menurut jabatan itu, lelaki itu dikatakan cuba memohon pelbagai jawatan tetapi gagal mendapatkan pekerjaan dalam kerajaan republik itu.

“Beliau cuba mendapatkan pekerjaan bagi pelbagai jawatan dalam sektor awam, jawatan dan agensi yang dia percaya akan membolehkannya untuk mengakses maklumat yang bermanfaat untuk pengaruh asing,” menurut ISD dalam maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp.

Dalam pada itu, ISD turut menegaskan bahawa mereka yang ingin menyertai sektor awam dalam jawatan-jawatan yang memerlukan akses untuk memperoleh maklumat sulit pemerintah perlu menjalani pemeriksaan keselamatan.

Katanya, beberapa faktor akan dipertimbangkan sebelum dibenarkan untuk berbuat demikian, termasuk ciri-ciri tugas bagi jawatan tersebut dan kepekaan maklumat yang diakses oleh para penyandang jawatan itu.

“Pemeriksaan keselamatan juga berbeza bagi jawatan-jawatan lain yang mempunyai tahap akses yang berasingan kepada maklumat sulit. Atas sebab operasi, kami tidak boleh memberikan perinciannya,” katanya.

Yeo ditahan mengikut ISA sejak 29 Januari lalu, kerana berkhidmat sebagai ejen upahan “negara asing”.

Walaupun ISD tidak mendedahkan nama negara asing itu, Yeo dihukum penjara 14 bulan di Amerika Syarikat tahun lalu kerana melakukan pengintipan untuk China terhadap Amerika Syarikat.

Siasatan ISD menunjukkan Yeo melakukan kegiatan risikan terhadap Singapura dari 2016 sehinggalah dia diberkas di Amerika Syarikat pada 2019.

Sementara itu, Yeo juga telah menubuhkan sebuah syarikat di Singapura sebagai muslihat untuk merahsiakan kegiatan-kegiatan mengumpul maklumat dan merekrut anggota untuk pengaruh asing itu.

Menurut ISD, Yeo direkrut oleh ejen China yang mengaku mewakili kumpulan pemikir ketika lawatan ke Beijing pada 2015.

Ketika itu, dia sedang melanjutkan pengajian untuk mendapatkan gelaran doktor falsafah di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di Universiti Kebangsaan Singapura.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply