Mengacukan pistol ke arah mangsa setiap kali melakukan jenayah samun menjadi taktik yang digunakan seorang lelaki dalam kegiatan itu di tiga buah premis kedai serbaneka, sebelum ini.
Bagaimanapun, kegiatan jahat lelaki berumur 26 tahun itu tidak kekal lama apabila dia berjaya dikesan dan diberkas polis.
Ini susulan wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika melakukan samun di sebuah kedai di Tikam Batu, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memberi kenyataan dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, lelaki itu ditahan di rumahnya di Kampung Pinang Tunggal, di sini selepas polis meneliti rakaman terbabit.
Pihak polis berjaya menjejaki suspek dan memberkasnya selepas 16 jam dia menyamun kedai serbaneka di Tikam Batu di sini yang mengakibatkan kerugian RM100.
Selain pelbagai barangan alatan pecah rumah ditemui, polis turut merampas sepucuk pistol mainan yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.
Turut dirampas adalah sebuah motosikal jenis KTM Duke 200 yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan samun pada pukul 1.30 pagi Ahad lalu.
Menurut Zaidy, modus operandi suspek adalah membeli barangan di kedai serbaneka yang dimasukinya.
Kemudian, semasa membuat bayaran, dia mengacukan pistol ke arah juruwang sebelum mengambil duit di dalam laci di kaunter bayaran.
Pemeriksaan lanjut di rumah suspek turut menemukan tiga peket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 2.62 gram.
Suspek memiliki tiga rekod jenayah membabitkan samun dan pernah dipenjarakan.
Selain itu, suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine.
Semakan rekod mendapati motosikal KTM itu dilaporkan hilang pada hari sama suspek melakukan samun di Tikam Batu.
Suspek kini berada dalam tahanan reman sehingga 9 Julai ini.
Tambah Zaidy, adik lelaki suspek, 23, turut ditahan dan kini direman sehingga Selasa untuk membantu siasatan.
Dengan penangkapan suspek, polis yakin berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjata api kedai serbaneka.
Serta, satu kes khianat dan satu kes curi motosikal yang telah dilakukan lelaki itu.
Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
Sumber: Utusan Malaysia