Mahkamah Jenayah Thailand menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas admin sebuah laman Facebook semalam, selepas individu tersebut didapati bersalah menampal stiker pada gambar Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Raja Thailand.

Lelaki Tampal Stiker Di Gambar Raja Thailand Dipenjara Dua Tahun

Individu berkenaan didapati melakukan kesalahan lèse majesté, iaitu perbuatan tidak menghormati pemerintah setelah menampal stiker itu di atas gambar Raja Thailand pada malam 19 September 2020.

Memetik Thai PBS World, mahkamah memutuskan bahawa tindakan menampal stiker dari logo page sindiran politik itu boleh membangkitkan kebencian atau hinaan dengan niat memusnahkan institusi monarki tersebut.

Setelah disabitkan bersalah, individu berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 100,000 Baht (RM12,798).

Menurut undang-undang lèse majesté Thailand (Seksyen 112 Kanun Keseksaan), sesiapa yang memfitnah, menghina atau mengancam Raja, Permaisuri, waris atau pemangku Raja boleh dipenjara tiga hingga 15 tahun bagi setiap tindakan, jika disabitkan kesalahan.

Pertubuhan hak asasi manusia serta organisasi sivik walaubagaimanapun sangat bimbang dengan peningkatan terhadap penggunaan undang-undang yang semakin terpalit kontroversi ini.

Menurut Thai PBS World, undang-undang ini diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha. Ia bertujuan untuk menutup mulut pengkritik monarki, terutamanya ahli gerakan pembaharuan monarki yang muncul pada bulan Ogos 2020.

Jelas Peguam Hak Asasi Manusia Thailand (TLHR) memetik laporan Thai PBS World, lebih 173 individu didakwa atas kesalahan itu dari bulan November 2020 hingga Februari 2022.

Sumber : SK

Share.

Leave A Reply