Seorang lelaki berusia 60 tahun didakwa telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga 90 kali tanpa menghiraukan kesan ke atas tubuh badannya di Jerman.
Lelaki terbabit yang identitinya dirahsikan telah mengambil risiko berbuat demikian semata-mata untuk menjual kad vaksinasi kepada mereka yang enggan mengambil suntikan.
Perbuatannya dilaporkan dapat dihidu oleh pihak berkuasa apabila lelaki berkenaan hadir di sebuah pusat vaksinasi di Eilenburg, Saxony, Jerman untuk mengambil suntikan COVID-19 bagi hari kedua berturut-turut.
Menerusi The Guardian, dpa melaporkan lelaki itu tidak ditahan tetapi sedang disiasat kerana mengeluarkan kad vaksinasi tanpa kebenaran, selain memalsukan dokumen berkaitan.
Polis juga dilaporkan telah merampas beberapa kad vaksinasi kosong daripada lelaki tersebut, dan kini sedang membuat persiapan untuk meneruskan prosiding jenayah.
The Guardian turut menyatakan dengan mengambil suntikan berkenaan, lelaki itu dengan mudah memperoleh nombor kumpulan vaksin yang sebenar untuk diletakkan ke atas kad tersebut.
Pada Ahad, agensi pengawalan wabak penyakit negara itu melaporkan 74,053 kes baharu dalam masa sehari, manakala kurang dari seminggu yang lepas, 111,224 kes baharu tercatat.
Secara keseluruhan, Jerman merekodkan jumlah kematian sebanyak 130,029 akibat COVID-19.
View this post on Instagram
Sumber: The Guardian