Lelaki Tular Lastik Lori Ketika Berhenti Di Lampu Isyarat Ditahan Polis | Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun, susulan tular video seorang penunggang motosikal melastik sebuah lori di lampu isyarat Amanjaya arah Sungai Lalang, Sungai Petani.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Sungai Lalang, Bedong.

Dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu, suspek pada mulanya dilihat menunggang motosikal sambil memegang lastik di tangan kirinya.

Suspek yang juga seorang penganggur kemudian memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat sebelum dia secara tiba-tiba melastik ke arah sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Perbuatan lelaki terbabit sempat dirakam seorang pemandu kenderaan sebelum memuat naik video kejadian itu di Facebook dan meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada.

Bimbang kemungkinan berlaku perkara lebih buruk, pemandu kereta berkenaan kemudian membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, rentetan itu sepasukan polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah di Sungai Lalang, Bedong pada pukul 11 malam tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian tersebut dan polis turut merampas lastik serta batu yang ditemui dalam raga
motosikalnya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bukan sahaja positif dadah, malah turut mempunyai dua rekod lampau bersabit kesalahan dadah,” kata beliau.

Ketika soal siasat, suspek mendakwa dia mengalami halusinasi sehingga mendorongnya melakukan perbuatan terbabit.

Suspek kini ditahan dan akan disiasat dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Berita RTM

Share.

Leave A Reply