PEROMPAK yang memecah masuk sebuah kedai peralatan elektrik di wilayah Chiang Mai di utara Thailand pada Ahad sempat meninggalkan sebuah nota sebelum melarikan wang berjumlah lebih daripada RM1,570 (12000 Baht).
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, suspek yang dianggarkan berusia sekitar 30 tahun hanya bersenjatakan lampu suluh ketika memecah masuk sebuah kedai peralatan elektrik bersebelahan Kuil Wat Tha Mai-i di daerah Chiang Mai Mueang.
Kejadian itu berjaya dirakam rakaman litar televisyen tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Suspek yang menggunakan pelitup muka kemudiannya dilihat tenang membuka mesin tunai kedai tersebut.
Difahamkan, suspek hanya mengambil masa 15 minit sebelum dia meninggalkan kedai tersebut.
Memetik laporan media antarabangsa, Thaiger News, jumlah sebenar kerugian yang ditanggung oleh pemilik kedai tersebut ialah sebanyak RM1, 590 (12,213 baht).
View this post on Instagram
Walaupun ia dilihat seperti kes rompakan yang biasa namun apa yang menarik ialah tindakan suspek yang sempat meninggalkan nota dan meminta maaf.
“Maaf, saya belum makan,” tulis perompak tersebut di atas sebuah kertas.
Menurut pemilik kedai, Jatupol berusia 36 tahun, tidak menyedari kedainya dirompak sehingga pagi Isnin ketika dia pergi ke tempat kerja.
“Saya syak pencuri itu melakukan rompakan pada malam Sabtu kerana kedai ditutup pada hari Ahad. Suspek mungkin penduduk tempatan dan ini adalah kali pertama kedai saya dirompak,” katanya.
Menurut Jatupol, dia pada mulanya berasa kasihan terhadap perompak tersebut namun bertindak untuk membuat laporan polis kerana melibatkan kerugian yang banyak.
“Tahun lalu, kotak derma di Kuil Wat Tha Mai-i berhampiran dicuri dan saya tidak menyangka kedai saya menjadi sasaran pada tahun ini.
“Saya berharap pencuri itu akan segera ditangkap agar orang lain tidak menjadi mangsa,” katanya.
Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa tempatan masih cuba untuk mengesan suspek.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Pencuri Hubungi Polis Minta Ditangkap Takut Orang Ramai Belasah
Seorang pencuri di Bangladesh nekad menelefon polis kerana khuatir dibelasah oleh sekumpulan perusuh selepas terkandas dalam sebuah kedai di bandar Barishal akibat mencuri, lapor akhbar The Business Standard.
Yeasin Khan, 41, memecah masuk sebuah kedai di kawasan AR Khan Bazar dan terperangkap pada Rabu lalu selepas mendapati terdapat kehadiran orang ramai di pasar, kata polis Metropolitan Bandar, Asaduzzaman.
Lelaki itu menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang dipukul oleh penduduk tempatan jika ditangkap.
Apabila polis bertanya mengapa dia tidak keluar dari kedai, Yeasin memberitahu bahawa dia mengambil masa yang lama untuk mengumpul barang-barang yang dicuri.
Dia selesai mengumpulkan barang-barang itu selepas waktu pagi dan orang ramai mula berkumpul di pasar ketika itu.
“Dalam keadaan itu, jika Yeasin keluar, dia akan dipukul oleh perusuh,” jelas Asaduzzaman.
Pemilik kedai, Jhantu berkata, dia tidak menyedari bahawa seorang pencuri memasuki kedainya dan membungkus barang di dalam begnya.
Polis kemudian menahan Yeasin di lokasi kejadian selepas menyelamatkannya dari kedai, kata Asaduzzaman.
Sumber: KMN