PETALING JAYA – Tular beberapa gambar memaparkan keadaan sebuah kondominium mewah di ibu negara yang dicemari dengan tuala wanita dan kondom di lantai tingkat bawah kediaman tersebut.

Menerusi perkongsian portal Kuala Lumpur Reporter di Twitter baru-baru ini, rata-rata penghuni kondominium mewah tersebut buntu dengan sikap manusia pengotor dan mempunyai mentaliti kelas ketiga.

“Penduduk di kondominium mewah di KL buntu dengan tuala wanita yang dicampak keluar dari tingkap dan mendarat berhampiran lantai jiran.

“Isu ini telah berlaku selama setahun dan pihak pengurusan kondo tidak dapat menangkap pelakunya,” ciapnya.

Lebih menjijikkan, tuala wanita yang dibuang masih terdapat kesan darah sehingga menyebabkan kawasan sekitar berbau busuk.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dan rata-ratanya mendesak pihak pengurusan agar lebih teliti menyiasat perkara tersebut.

“Penghuni bayar caj selenggara kondominium, jadi pihak pengurusan perlu bertindak segera kesan si pelaku. Ambil tindakan halau keluar pengotor yang menyusahkan penghuni lain,” luah seorang pengguna.

Menurut @Churail pula, perbuatan membuang tuala wanita merata-rata adalah sesuatu yang memalukan kaum wanita.

“Kenapa teruk sangat, memalukan kaum perempuan,” ciapnya.

“Lain kali tulis sahaja nama kondo tersebut, biar semua orang tahu. Biar cepat sikit pengurusan bertindak sebab malu,” cadang beberapa pengguna lain.

Sumber: Kosmo

Baca Juga: Mayat Warga Asing Ditemui Terbaring Di Parking Kondominium

PUTRAJAYA – Mayat seorang pekerja warga asing ditemui dalam keadaan terbaring atas hamparan kotak di kawasan meletak kereta sebuah kondominium dalam pembinaan di Presint 15 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan tentang penemuan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati si mati merupakan warga Bangladesh yang bekerja sebagai pemasang mozek di kondominium berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, si mati yang merupakan seorang lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai mengalami serangan jantung dan tiada sebarang kecederaan luaran lain yang ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, mayat tersebut ditemui terbaring atas hamparan kotak yang dijadikan sebagai tempat berehat di bahagian bawah tanah kondominium sedang dalam pembinaan itu.

“Majikan si mati turut berada di lokasi dan kesemua saksi akan diambil keterangan.

“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat yang akan dibuat sebaik keputusan ujian Covid-19 si mati diperolehi,” ujar beliau.

Tambah A. Asmadi, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SRD) sehingga bedah siasat selesai dijalankan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply