Majoriti Rakyat Masih Patuh SOP, Segelintir Mengalami ‘Keletihan Pandemik’ | Siapa sangka seluruh dunia akan mengalami gelombang krisis pandemik yang akan mengubah kehidupan seluruh masyarakat ekoran penularan wabak Covid-19. Malah tanpa disangka seolah-olah kita kehilangan kebebasan yang dikecapi selama ini dan semestinya ramai akan bertanya bila agaknya segala kesukaran yang dilalui akan berakhir.

Majoriti Rakyat Masih Patuh SOP, Segelintir Mengalami 'Keletihan Pandemik'

Shah Alam: Tular di media sosial kebelakangan ini mengenai gambar dan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh pelbagai pihak, hingga mencetuskan kemarahan orang ramai lebih-lebih lagi ketika negara masih mencatatkan angka jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Namun disebalik penularan isu itu, majoriti rakyat Malaysia masih kekal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan apatah lagi ia sudah menjadi sebahagian norma baharu kehidupan harian dan telah dipraktikkan secara meluas di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, berkata perkara itu terbukti ketika sambutan Hari Raya baru-baru ini, yang menyaksikan majoriti rakyat patuh dengan arahan kerajaan agar tidak mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung.

“Namun dari segi penguatkuasaan, perlu ada pemerkasaan oleh pihak berkuasa seperti pihak pengurusan pusat beli-belah yang sepatutnya mengawal jumlah kedatangan pengunjung,” katanya kepada Bernama.

Pakar Kaunseling dan Motivasi bebas Hushim Salleh pula berpendapat, bahawa pelanggaran SOP oleh segelintir rakyat berlaku kerana mereka telah melalui perintah kawalan pergerakan dalam tempoh yang panjang hingga berasa terkongkong.

Katanya, mereka mengalami ‘keletihan pandemik’ hingga mencetuskan kesan psikologi dan emosi yang sekaligus membawa kepada tahap mereka sudah tidak kisah dengan situasi penularan wabak Covid-19 ini.

“Mereka bukan tidak tahu pasal angka jangkitan kes dan nasihat mengenai SOP kerana ia boleh diperoleh daripada telefon pintar masing-masing tapi keadaan sekarang ada kalanya membawa kepada pemikiran yang tidak rasional,” katanya.

Sementara itu, Selangor masih mencatatkan kes tertinggi Covid-19 dengan jumlah 1,650 kes baharu yang direkodkan semalam (17 Mei).

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman, menyifatkan ketidakpatuhan SOP dalam kalangan penduduk di Selangor terutama di Shah Alam menjadi punca peningkatan kes positif COVID-19.

Tinjauan Bernama di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati dekat sini juga mendapati keadaan tidak sesak sebagaimana ditularkan sebelum ini.

Ini susulan kerajaan negeri memasang khemah di luar CAC untuk kemudahan pesakit dan petugas di pusat berkenaan.

Sumber: Berita Harian

 

Share.

Leave A Reply